Berita

QARI JIPS DAN QARIAH JPJKK MUNCUL JOHAN TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT BUKIT AMAN

Kuala Lumpur, 13 September 2018 – Alunan merdu bacaan ayat suci Al-Quran oleh qari dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Sarjan Haji Razlee Asmat dan qariah, Puan Zunaidah Abdul Raseh dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) berjaya menambat hati para juri seterusnya dinobatkan sebagai johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1440H/2018M, petang tadi.

Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, sijil penyertaan, piala iringan dan seterusnya mewakili Bukit Aman ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada November 2018.

Sementara qari dari JIPS, ASP Khairu Amra Haron dan qariah, ASP Norhafizah Mohamad Yusak dari Urusetia KPN masing-masing muncul naib johan dan menerima wang tunai RM700, sijil penyertaan dan plak.

Manakala qari dan qariah yang memenangi tempat ketiga pula ialah Koperal Mohd Faaizun Abdul Salam dari JPJKK dan SI Hajah Saa’diah Haji Md. Dewi Qariah dari Jabatan Pengurusan dengan wang kemenangan RM500, sijil penyertaan dan plak.

Majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Masjid Bukit Aman itu menyaksikan seramai 11 orang qari dan tujuh orang qariah dari pelbagai jabatan dalam PDRM telah mengambil bahagian dalam program tersebut seawal jam sembilan pagi tadi. 

Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Agama dan Kaunseling), SAC Shafien Haji Mamat selaku Timbalan Pengerusi Masjid Bukit Aman dalam ucapan sempena Majlis Penutupan Tilawah Al-Quran Peringkat Bukit Aman berkata, penganjuran program ini bukan hanya memperdengarkan kemerduan suara qari dan qariah mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran, juga menghayati intisari pengajaran yang dibawa oleh Al-Quran agar dapat dijadikan panduan hidup.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada barisan Jawatankuasa Penganjur kerana bertungkus-lumus menjayakan majlis pada tahun ini.

Turut hadir mengimarahkan majlis penutup tadi ialah pegawai-pegawai kanan dan anggota serta warga Bukit Aman.

0R9A2376
Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Agama dan Kaunseling), SAC Shafien Haji Mamat selaku Timbalan Pengerusi Masjid Bukit Aman menyampaikan hadiah kepada juara qari dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Sarjan Haji Razlee Asmat.

0R9A2401
Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Agama dan Kaunseling), SAC Shafien Haji Mamat selaku Timbalan Pengerusi Masjid Bukit Aman menyampaikan hadiah kepada juara qariah, Puan Zunaidah Abdul Raseh dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

0R9A2423
Bergambar kenangan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS