Berita

FUTSAL PIALA KPN 2018: KONTINJEN TERENGGANU JUARA KATEGORI LELAKI

Kuala Lumpur, 21 September 2018 – Kontinjen Terengganu dan Bukit Aman bergelar juara Kejohanan Futsal Piala Lelaki dan Wanita Piala Ketua Polis Negara (KPN) Tahun 2018 selepas masing-masing mengungguli kategori lelaki dan wanita dalam acara penentuan juara yang berakhir di KSL Futsal Sport Centre Setapak, di sini, petang tadi.

Kontinjen Terengganu di bawah kendalian Lans Koperal Muhammad Fauzi Jamaludin berjaya menewaskan Kuala Lumpur dengan defisit jaringan 4-2 melalui penentuan penalti dalam aksi terakhir kategori lelaki. Pasukan wanita dari Bukit Aman pula membelasah Selangor, 5-1 sekaligus meraih gelaran juara kategori wanita dalam perlawanan yang diadakan pagi tadi.

Kejohanan anjuran Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur ini menyaksikan Kontinjen Kuala Lumpur akur di tempat kedua manakala Bukit Aman dan Johor berkongsi tempat ketiga bagi kategori lelaki. 

Bagi kategori wanita pula, walaupun memberikan saingan sengit kepada pihak lawan, namun Kontinjen Kuala Lumpur mengakui kehebatan Kontinjen Bukit Aman dan berpuas hati di tempat kedua dan tempat ketiga menyaksikan Kontinjen Sarawak dan Selangor berkongsi kedudukan tersebut.

Sementara itu, Lans Koperal Nornazren Mohd dari Kontinjen Kuala Lumpur dan Konstabel Norsuriani Mazli dari Kontinjen Bukit Aman, masing-masing telah dinobatkan sebagai pemain terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

Dalam pada itu, Lans Koperal Muhammad Firdaus Anra dari Kontinjen Terengganu dan Konstabel Lovelytha Jelus dari Kontinjen Bukit Aman pula telah dinobat sebagai penjaring gol terbanyak bagi kedua-dua kategori manakala penjaga gol terbaik telah dinobatkan kepada Konstabel Muhamad Badhrul Abd. Rahim dari Kontinjen Terengganu.

Terdahulu, Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Futsal Lelaki dan Wanita Piala KPN 2018 pada hari ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.

Turut hadir, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, SAC Shamsudin Mat, pegawai-pegawai kanan, anggota-anggota PDRM dan wakil-wakil media.

1.1
Kontinjen Terengganu muncul juara Futsal Piala Ketua Polis Negara (KPN) tahun 2018 kategori lelaki.

1.2
Kontinjen Bukit Aman muncul juara Futsal Piala Ketua Polis Negara (KPN) tahun 2018 kategori wanita.

64
Lans Koperal Nornazren Mohd dinobatkan Pemain terbaik Futsal Piala Ketua Polis Negara (KPN) tahun 2018.

12
Sekitar gimik perlawanan akhir Futsal Piala Ketua Polis Negara (KPN) antara Terengganu vs Kuala Lumpur.

2
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim turut hadir menyaksikan perlawanan akhir.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS