Berita

PDRM CIPTA SEJARAH: DUA PENGARAH BAHARU, DUA PENAMPILAN SEMULA TERAJUI JABATAN PASUKAN

Kuala Lumpur, 11 Oktober 2018 – Buat julung-julung kalinya empat Pengarah Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali gus mengambil alih tugas masing-masing dalam Majlis Serah Terima Tugas, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) yang telah diadakan di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, dekat sini, pagi tadi.

Empat muka baharu dan membuat penampilan semula untuk menerajui jabatan PDRM adalah bekas Ketua Polis Kontinjen Perlis, SAC Dato' Azisman Alias yang secara rasminya menerajui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) setelah mengambil alih tugas tersebut daripada pemangku pengarah jabatan tersebut, ACP Zulkifli Jonit. Ketua Polis Kontinjen Pahang, CP Dato' Sri Rosli Abd Rahman pula mengambil alih tugas sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) daripada bekas pengarah jabatan itu yang kini bertukar sebagai Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT), CP Dato' Sri Tajuddin Md Isa. 

Manakala yang terakhir adalah, bekas Pengarah Jabatan Start sendiri, CP Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani kini membuat penampilan semula menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) setelah menerima tugas itu daripada pemangku pengarah jabatan itu, CP Dato' Zainal Abidin Kasim.

Majlis serah tugas, bertukar dokumen dan simbolik penyerahan tongkat kuasa jabatan masing-masing telah dilakukan di hadapan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun dengan disaksikan lebih 700 hadirin yang hadir dalam dewan tersebut.

Turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JSPT di antara pemangkunya, Puan Hajah Hapisah Haji Hasbullah dengan Datin Norlida Ahmad. Manakala Pengerusi PERKEP JPJKK, Datin Sri Mastura Hashim pula menyerahkan jawatannya kepada penyandang baharu, Datin Sri Azizah Othman. Turut menyerahkan tugas tadi adalah Pemangku Pengerusi PERKEP Jabatan KDNKA di antara Datin Roseleena Mohamed Noor kepada Datin Sri Ir. Zaitun binti Mohd Isa.

Majlis serah tugas dan pertukaran dokumen rasmi PERKEP tersebut dibuat di hadapan isteri kepada Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Pemangku Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datin Sri Shahriza Saad @ Mansor.

Sejurus selesai kedua-dua majlis itu, Tan Sri Mohamad Fuzi turut berbesar hati menyempurnakan pemakaian pangkat kepada 55 pegawai kanan polis yang telah dinaikkan pangkat baru-baru ini sebelum menganugerahkan pula PJPN kepada 149 penerima terdiri daripada para pegawai kanan dan anggota polis dari seluruh kontinjen dan jabatan PDRM. Kesemua penerima PJPN ini diraikan sebagai menghargai pengorbanan yang telah ditunjukkan tanpa berbelah bahagi kepada pasukan.

Disamping itu, sebagai menyokong dan menghargai jasa bakti PDRM kepada negara, Telekom Malaysia Berhad (TM) telah menawarkan perkhidmatan jalur lebar khas dengan memperkenalkan Pek ‘JASA’ unifi ‘Mobile’ kepada seluruh pegawai dan kakitangan PDRM dalam satu Majlis Pelancaran yang berlangsung di Dewan Pengaman, PULAPOL Kuala Lumpur.

Turut hadir, Pengarah Pengurusan PDRM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis, CP Dato' Sri Asri Yusof, barisan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya-pesuruhjaya, Ketua-ketua Polis Negeri, Timbalan-timbalan Pengarah, pegawai-pegawai kanan PDRM, Ahli-ahli PERKEP serta wakil media.

0R9A4122
Sekitar Majlis Serah Terima Tugas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

0R9A4397
Sekitar bergambar kenangan di Majlis Serah Terima Tugas, Pemakaian Pangkat Pegawai kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara.

0R9A4136
Sekitar Majlis Serah Terima Tugas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

0R9A4469
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun membuat lawatan ke Booth unifi.

0S7A5197
Pelancaran Pek Jasa Kepada warga PDRM oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS