Berita

JSJN TERIMA ALAT MAMPU KESAN DADAH DALAM TEMPOH SINGKAT

Kuala Lumpur, 15 Oktober 2018 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah menerima sebuah alat pengesan dadah, ‘TRU NARC’ yang mampu mengesan kandungan dadah dalam tempoh singkat, daripada United States Drug Enforcement Administration (US DEA) di Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dekat sini, petang tadi.

Penyerahan alat bersaiz kecil dan mudah alih itu telah disampaikan oleh Country Attache US DEA, Mr. Joseph R. Lipp kepada Pengarah JSJN, CP Dato’ Sri Mohmad Salleh sebagai sumbangan di atas kerjasama yang terjalin di antara kedua-dua agensi sejak tahun 2004.

Dato’ Sri Mohmad memaklumkan ‘TRU NARC’ berkebolehan membantu pihak polis mengesan bahan yang disyaki mengandungi dadah berupa cecair atau serbuk dalam tempoh kurang tiga minit.

“Selain itu, alat ini juga mampu mengesan sehingga 5,000 jenis bahan kimia yang merangkumi jenis-jenis dadah, bahan letupan dan bahan kimia sekaligus memudahkan proses JSJN mengenalpasti kandungan dadah semasa operasi dilakukan,” jelas beliau lagi.

Dato’ Sri Mohmad turut menyatakan kolaborasi selama 14 tahun itu telah mencatatkan 45 kejayaan operasi hasil daripada perkongsian maklumat dan siasatan bersama dalam usaha memerangi penyeludupan dadah di Malaysia.

“Kolaborasi ini akan diteruskan tidak sahaja terhad kepada perkongsian maklumat, malah turut merangkumi bantuan dari segi teknikal, sumbangan penambahbaikan infrastruktur dan pembangunan modal insan,” tambah beliau lagi.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah JSJN (Risikan/Operasi), DCP Dato' Kang Chez Chiang, Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Intelligent/Strike), SAC Dato’ R. Junaidi Mohamed, Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), SAC Zulkifli Ali, Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/ Kepolisan Am), SAC Abd Razak Md Zain, Penolong Pengarah Narkotik (Risikan Zon 1), ACP Ravinder Singh Sarban Singh, Penolong Pengarah Risikan Antarabangsa, ACP Mazleen Mohd Nasir, para pegawai kanan dan rakan media.

0S4A6749
Country Attache US DEA, Mr. Joseph R. Lipp menyerahkan alat pengesan dadah 'TRU NARC' kepada Pengarah JSJN, CP Dato’ Sri Mohmad Salleh.

0S4A6789
Bergambar kenangan.

0S4A6792
Alat pengesan dadah 'TRU NARC'.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS