Berita

TOLAK WANG SOGOKAN RM100 RIBU, EMPAT ANGGOTA TRAFIK TERIMA SURAT PENGHARGAAN

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2018 – Natijah menolak wang sogokan sebanyak RM100,000 daripada pengedar dadah yang ditahan di Lebuhraya Sektor 2 Pedas-Ayer Keroh arah Selatan baru-baru ini, empat anggota Lebuhraya Zon Selatan dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman yang diadakan di perkarangan Kompleks 3, Bukit Aman, di sini, pagi tadi.

Tan Sri Mohamad Fuzi dalam ucapannya turut menzahirkan rasa bangga ekoran tindakan anggota-anggota JSPT ini yang telah mempamerkan ketelusan hati, integriti yang cukup tinggi serta tidak mudah mengalah kepada dugaan hawa nafsu semasa melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Mengimbas kembali kejadian pada 2 Oktober lalu, empat anggota JSPT yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan di lebuhraya tersebut telah berjaya menahan sebuah kenderaan yang telah membolosi pemeriksaan pihak polis dan menemukan sebuah kotak yang setiap satunya mengandungi empat paket plastik mengandungi dadah jenis Syabu seberat satu kilogram. Suspek yang pada ketika itu cuba menyogok pihak berkuasa telah ditahan dan telah pun dihadapkan ke muka pengadilan.

Dalam majlis yang sama juga, Tan Sri Mohamad Fuzi turut menyempurnakan penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada  49 orang pegawai kanan dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai menghargai semangat kepahlawanan, pengorbanan dan jasa bakti mereka kepada negara serta menganugerahkan Surat Penghargaan KPN kepada 30 orang warga PDRM Bukit Aman yang cemerlang semasa bertugas.

Majlis pada hari ini turut dihadiri oleh Timbalan KPN, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah JSPT selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman kali ini, SAC Dato’ Azisman Alias, barisan pengarah PDRM, timbalan-timbalan pengarah, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan PDRM serta rakan-rakan media.

IMG_0710
KPN bergambar kenangan bersama empat anggota Lebuhraya Zon Selatan dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang menolak wang sogokan sebanyak RM100,000 daripada pengedar dadah yang ditahan di Lebuhraya Sektor 2 Pedas-Ayer Keroh arah Selatan.

IMG_0241
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun memeriksa baris kawalan kehormatan.

0R9A4853
Sekitar upacara Penyampaian Sijil Penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.

_MG_9114
Sekitar upacara Penyampaian Sijil Penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.

_MG_9111
Sekitar upacara Penyampaian Sijil Penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.

0S4A7431
Sekitar upacara Penyampaian Sijil Penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS