Berita

SEMINAR PEMANTAPAN INTEGRITI: PDRM NEKAD PERANGI RASUAH

Kuala Lumpur, 1 November 2018 - Sebagai implementasi berterusan pasukan memerangi jenayah rasuah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah menganjurkan Seminar Pemantapan Integriti: Bebas Rasuah Warga PDRM di Maktab PDRM Kuala Lumpur, dekat sini, bermula awal pagi tadi.

Seminar sehari yang dihadiri lebih 500 para pegawai kanan peringkat atasan dari Bukit Aman dan seluruh kontinjen serta formasi PDRM itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Haji Jamman dengan diiringi Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sebanyak empat pembentangan dan perkongsian ilmu oleh tokoh yang tidak asing lagi dalam isu integriti nasional diadakan dalam Dewan Sultan Ahmad Shah tadi. Mereka adalah Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Datuk Dr. Anis Yusal Yusof yang memberikan ceramah bertajuk 'Kepentingan Integriti dalam PDRM dan Malaysia', diikuti oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Mohd Shukri Abdull yang menyampaikan ceramah bertajuk 'Masalah Rasuah Di PDRM, Seriuskah?'.

Turut membuat pembentangan tadi adalah Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Dato' A. Aziz A. Rahim yang bertajuk 'Penguatkuasaan Berintegriti dari Perspektif Agensi Pemantau' dan yang terakhir sekali oleh Pengarah JIPS sendiri selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Zamri Yahya.

Berucap dalam majlis tadi, Tan Sri Mohamad Fuzi menyeru warga PDRM untuk terus berusaha membuat perubahan menaikkan imej dan kewibawaan pasukan menerusi usaha-usaha pemantapan integriti dan pematuhan standard yang ditetapkan serta menerapkan budaya 'zero tolerance' terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan ketika bertugas.

“Saya menyandarkan tanggungjawab dan amanah untuk melaksanakan tanggungjawab amal makruf nahi mungkar ini kepada barisan Pengarah, Ketua Polis Kontinjen, Ketua-ketua Polis Daerah dan Ketua-ketua Jabatan untuk menyalurkan segala maklumat, teguran dan arahan yang diperolehi dalam seminar ini kepada semua pegawai dan anggota di bawah seliaan masing-masing,” ujarnya.

Terdahulu, para peserta seminar yang hadir tadi turut terharu sehinggakan ada yang menitiskan air mata tatkala menonton klip video khas bertajuk 'Rasuah Itu Najis' lakonan para pegawai kanan, anggota dan anak-anak polis sendiri. Klip video khas yang amat menyentuh hati dan perasaan peserta yang hadir itu diarahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor, SAC Fadzil Ahmat.

Turut hadir dalam seminar tadi, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Dalam Negeri, Dato' Che Murad Sayang Ramjan, Ketua-ketua Polis Daerah dan rakan-rakan media.

0R9A6029
Ucapan perasmian daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Haji Jamman.

0R9A6008
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun berucap di Seminar Pemantapan Integriti Bebas Rasuah Warga PDRM.

0R9A6217
Pembentangan pertama oleh Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Datuk Dr. Anis Yusal Yusof.

0R9A6281
Pembentangan kedua oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Mohd Shukri Abdull.

0S5A7788
Pembentangan ketiga oleh Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Dato' A. Aziz A. Rahim.

0R9A6339
Pembentangan terakhir daripada Pengarah JIPS selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Zamri Yahya.

0R9A6127
Sesi bergambar kenangan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS