Berita

SELAMAT BERSARA DATO’ SRI ASRI, JASA DAN BAKTIMU AKAN SENTIASA DIKENANG

Kuala Lumpur, 22 November 2018 – Pengarah Pengurusan, CP Dato' Sri Asri Yusoff akan menjalani persaraan wajib secara rasminya berkuatkuasa pada 26 November ini sekaligus menyerahkan tugas kepada Timbalan Pengarah Pengurusan (Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, DCP Dato' Abd Jalil Hassan yang akan memangku jawatan tersebut.

Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan antara Dato' Sri Asri dengan Dato' Abd Jalil serta pertukaran dokumen rasmi dan penyerahan tongkat kuasa telah disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim yang berlangsung di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, sebelah pagi tadi.

Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Noor Rashid telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaannya kepada Dato’ Sri Asri yang dianggap sebagai seorang wira dalam pasukan kerana telah banyak menabur jasa dan bakti kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya mewakili seluruh warga PDRM, mengucapkan ‘Selamat Bersara’ dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Sri Asri atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada Pasukan selama ini, juga kami berdoa semoga beliau dan keluarga sentiasa berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT,” katanya.

Turut diadakan dalam majlis tersebut adalah Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Pengurusan di antara penyandangnya, Datin Sri Bedah Dollah dengan isteri kepada Dato’ Abdul Jalil iaitu Profesor Madya Datin Dr. Siti Alida John Abdullah dengan disaksikan oleh isteri kepada Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Pemangku Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datin Sri Shahriza Saad @ Mansor.

Terdahulu, majlis pagi tadi diserikan lagi dengan pemakaian pangkat kepada 36 pegawai kanan polis yang telah dinaikkan pangkat baru-baru ini. Manakala 106 warga PDRM yang lain pula telah dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) sebagai menghargai khidmat dan bakti mereka kepada pasukan selama ini.

Di sebelah petang hari yang bersejarah ini telah diadakan Majlis Paluan Berundur bertempat di Dataran Kawad PULAPOL Kuala Lumpur yang dihadiri oleh seluruh warga PDRM khususnya dari Jabatan Pengurusan, Bukit Aman dan di sekitar Lembah Klang.

Kemuncak aturcara tadi, apabila Dato’ Sri Asri bersama isteri diarak menaiki kenderaan istiadat dari Dataran Kawad ke Balai Pengawal PULAPOL sebagai simbolik perjalanan akhir karier beliau dalam pasukan.

Hadir sama dalam kedua-dua acara tadi adalah barisan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Polis, Ketua-ketua Polis Negeri, Timbalan-timbalan Pengarah, pegawai-pegawai kanan polis, ahli-ahli PERKEP serta rakan media.

0S5A9883
Pengarah Pengurusan, CP Dato' Sri Asri Yusoff berucap dalam majlis.

0R9A7937
Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan antara Dato' Sri Asri Yusoff dengan Dato' Abd Jalil Hassan serta pertukaran dokumen rasmi dan penyerahan tongkat kuasa disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.

_MG_0871
CP Dato' Sri Asri Yusoff dan isteri menaiki kenderaan istiadat ke Balai Pengawal PULAPOL KL.

_MG_0855
CP Dato' Sri Asri Yusoff dan isteri menaiki kenderaan istiadat ke Balai Pengawal PULAPOL KL.

_MG_0815
CP Dato' Sri Asri Yusoff bergambar kenangan di hadapan kenderaan istiadat.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS