Berita

PDRM SAMBUT BAIK IPCMC, KOMITED BANTERAS RASUAH SECARA TUNTAS

Cheras, 29 November 2018 – Selaras dengan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menaikkan nilai integriti warganya sehingga ke akar umbi dalam membendung salah laku terutama melibatkan gejala rasuah, satu program Forum Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis (IPCMC): Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang telah diadakan anjuran mahasiswa Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sesi 2017/2019 bertempat di Maktab PDRM Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam ucapan perasmiannya sebentar tadi berkata, PDRM menyambut baik penubuhan IPCMC dan yakin ianya mampu meningkatkan profesionalisme PDRM di samping mengukuhkan lagi aspek-aspek kebajikan, kemajuan serta hak warga Polis secara keseluruhannya .

Beliau menambah, sebagai badan pengawasan bebas yang berfungsi untuk mencegah salah laku warga polis, IPCMC tidak akan menjejaskan peranan dan tanggungjawab Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang sedia ada.

"Sekalipun IPCMC dilihat sebagai satu badan pemantau yang mempunyai kuasa untuk menyiasat salah laku warga PDRM tetapi sekiranya prinsip integriti dan profesionalisme menjadi amalan dalam pasukan tiada apa yang perlu digusarkan," ujarnya.

“Apa yang penting, warga PDRM harus berusaha mempamerkan prestasi yang lebih cemerlang, perkhidmatan yang lebih berkesan dan menjunjung tinggi integriti diri dan jabatan ke arah memastikan kepercayaan masyarakat kepada institusi ini kekal terpateri,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kepada seluruh warga PDRM agar tidak terlibat dengan sebarang gejala yang boleh mencalarkan imej PDRM di mata masyarakat.

Beliau juga turut menasihatkan seluruh warga PDRM untuk mengamalkan sikap saling ingat-mengingati antara satu sama lain agar sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, ikhlas, dedikasi dan amanah.

Forum ini dikendalikan oleh moderator yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Sayed Munawir Sayed Mohd. Mustar dan ahli panel yang terdiri daripada Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), Dato' A.Aziz A.Rahim, Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Simi Abdul Ghani serta Ketua Penolong Pengarah D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, SAC Dato' Mohd Azman Ahmad Sapri.

Pelbagai isu panas yang dikupas menerusi sesi soal jawab dalam forum yang berlangsung selama tiga jam dan seterusnya sebagai wacana ilmiah yang merungkai beberapa persoalan melibatkan PDRM.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, barisan Pengarah PDRM,  Pesuruhjaya-pesuruhjaya Polis dan Ketua-ketua Polis Negeri, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, DCP Dato’ Yong Lei Choo, tetamu-tetamu jemputan, barisan ahli panel dan moderator, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta wakil-wakil media.

0S4A2711
Sesi bergambar kenangan.

0S4A2658
Sekitar forum berlangsung.

0R9A8824
Sesi soal jawab bersama ahli panel.

0S4A2703
Sesi penyampaian cenderahati kepada ahli panel, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), Dato' A.Aziz A.Rahim.

0S4A2706
Sesi penyampaian cenderahati kepada saudara moderator, Sayed Munawir Sayed Mohd.Mustar.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS