Berita

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1440 HIJRAH/2018 : PDRM PERKUKUH ASPEK KEROHANIAN SEBAGAI ELEMEN JATI DIRI

Kuala Lumpur, 7 Disember 2018 –  Penganjakan usia perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah genap 211 tahun menyaksikan cabaran yang dihadapi ketika ini semakin kompleks bukan hanya tertumpu untuk mengurangkan indeks jenayah dan keselamatan negara sahaja, tetapi pengukuhan pasukan dalam aspek modal insan dan kerohanian sebagai elemen jati diri seluruh warganya.
 
Seiring dengan itu, Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bukit Aman di sini, hari ini yang juga merupakan takwim tahunan dalam kalender pasukan sebagai satu platform dalam penghayatan nilai-nilai murni untuk diaplikasikan dalam penugasan harian. 

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam ucapan perasmian majlis hari ini berkata, setiap manusia berhak untuk disantuni walaupun berbeza fahaman dan pegangan seiring dengan tema sambutan Mulidur Rasul 1440 Hijrah / 2018 Masihi iaitu Menyantuni Umat Membawa Rahmat. 

“Tanamkanlah niat di hati masing-masing bahawa setiap penugasan yang kita lakukan adalah satu ibadah kepada Allah SWT dan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara,” ujarnya. 

Antara pengisian program turut diadakan sesi forum yang bertajuk ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ yang dikendalikan oleh Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi sebagai moderator dan ahli-ahli panel iaitu Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman, Perunding Motivasi/Penceramah Bebas, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang. 

Secara ringkasnya, sesi forum tersebut telah mengajak umat islam untuk menyayangi Rasullullah bukan sahaja secara ucapan malah perbuatan cara hidup bagi membawa seseorang menuju pada kesempurnaan iman.

Kemuncak program pada hari ini diserikan dengan persembahan khas oleh Kumpulan Nasyid Soutul Shurtoh Bukit Aman. 

Turut hadir, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bukit Aman Tahun 2018, CP Dato’ Zamri Yahya, barisan pengarah, timbalan-timbalan pengarah serta warga PDRM Bukit Aman.

0S5A2751
Sesi forum berlangsung.

0S5A2768
Bergambar Kenangan.

0S4A4515
Bacaan ayat suci Al-Quran oleh Qari Muhammad Nabil Husayni Muhammad Rozie.

0S5A2748
Ucapan perasmian oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS