Berita

SPSS DILANCAR, PERKENAL TEKNOLOGI PENGESANAN MUKA BAGI PERTINGKAT KESELAMATAN RUMAH

Kuala Lumpur, 28 Disember 2018 - Sistem Pengurusan Syarikat Sekuriti (SPSS) yang menggunakan inisiatif teknologi baharu iaitu ‘Artificial Intelligence Facial Recognition’ (AIFR) telah dilancarkan hari ini bagi meningkatkan keselamatan di kawasan perumahan berpagar.

Pelancaran sistem tersebut disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam Majlis Makan Malam KOP Mantap Berhad yang diadakan di Hotel Istana, di sini, malam tadi.  

“AIFR adalah satu teknologi keselamatan yang paling berpotensi di dunia di mana lebih 200 titik utama muka manusia dikesan dalam milisaat untuk pengiktirafan muka.

“Ia juga boleh mengenal pasti ekspresi muka dan pergerakan badan di kawasan awam dengan video pengawasan orang ramai,” ucap beliau dalam majlis tersebut. 

Tambah beliau, semua syarikat dan pengawal keselamatan dinasihatkan untuk mendaftar dan disahkan sebelum menggunakan AIFR bagi meningkat dan mengetatkan keselamatan di seluruh tempat terutamanya di kawasan perumahan berpagar.

Melalui inisiatif itu, pengawal keselamatan yang berdaftar perlu menjalani latihan komprehensif selain membolehkan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan latar belakang terhadap syarikat dan pengawal keselamatan sebelum penglibatan mereka  bagi menjaga sesebuah kawasan perumahan.

Dalam majlis tersebut, Tan Sri Mohamad Fuzi turut menzahirkan rasa gembira dan bangga di atas kerjasama yang terjalin sekian lama di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan KOP Mantap Berhad yang sentiasa berkongsi sentimen yang sama untuk memelihara dan melindungi keselamatan rakyat dan negara.

Jelas beliau, penjenamaan semula KOP Mantap Berhad sebagai sebuah entiti pengurusan pelaburan bagi Koperasi Polis Diraja Malaysia juga telah menghasilkan keuntungan dan mampu bersaing walaupun negara mengalami iklim ekonomi yang perlahan.

Turut hadir dalam majlis tadi ialah Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengerusi Koperasi PDRM, Dato’ Seri Wira Ayub Yaakob, Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) merangkap Timbalan Pengerusi Koperasi PDRM, Dato’ Sri Tajudin Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KOP Mantap Berhad, Datuk Iskandar Datuk Abdul Malik, para pegawai kanan PDRM, pegawai serta kakitangan Koperasi PDRM dan KOP Mantap Berhad.

0S5A6272
Pelancaran Sistem Pengurusan Syarikat Sekuriti (SPSS) yang menggunakan teknologi baharu iaitu ‘Artificial Intelligence Facial Recognition’ (AIFR) bagi meningkatkan keselamatan di kawasan perumahan berpagar.

0S5A6271
Ucapan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.

0S7A6044
Bergambar kenangan.

0S5A6284
Penyerahan cek daripada Kolej UNIKOP Kepada KOP Mantap Bhd.

0S5A6400
Bergambar kenangan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS