Berita

OP SELAMAT 14: PDRM FOKUS CEGAH JENAYAH PECAH RUMAH DAN KEMALANGAN JALAN RAYA MINIMUM

OP SELAMAT 14: PDRM FOKUS CEGAH JENAYAH PECAH RUMAH DAN KEMALANGAN JALAN RAYA MINIMUM

Seremban, 22 Januari 2019 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan Op Selamat 14 bagi tahun ini yang akan bermula pada 29 Januari hingga 12 Februari ini dengan memfokuskan usaha mencegah jenayah pecah rumah serta meminimumkan kemalangan jalan raya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina yang menjelang tiba.

Justeru itu, PDRM bersama rakan strategiknya iaitu PLUS Malaysia Berhad selaku penaja utama Op Selamat 14 kali ini telah mengadakan majlis pelancaran di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Utara, Negeri Sembilan, pagi tadi yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.

Tan Sri Noor Rashid dalam ucaptamanya berkata, aspek keselamatan harta benda awam dan rumah yang ditinggalkan semasa musim cuti turut menjadi keutamaan PDRM apabila menjelangnya musim perayaan ini.

“Bagi tujuan tersebut, seluruh jentera PDRM di peringkat kontinjen akan digerakkan bagi tujuan rondaan pencegahan, risikan, operasi dan pemantauan secara berjadual di kawasan kediaman dan premis perniagaan sepanjang tempoh cuti perayaan,” ujar beliau lagi.

Tambahnya lagi, kerjasama masyarakat memainkan peranan penting dalam menjayakan operasi ini antaranya dengan memaklumkan perancangan cuti kepada pihak polis sebelum pulang ke kampung dengan mengisi borang maklumat balik kampung yang boleh didapati di balai polis berhampiran atau muat turun melalui Portal Rasmi PDRM dan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) serta Sistem SMS Rakan Cop.

Dalam majlis tersebut juga, Tan Sri Noor Rashid berkesempatan melakukan ‘Flag-Off'' simbolik jalinan kolaborasi PDRM bersama agensi Emergency Response Team (ERT) yang terdiri daripada PLUS Expressways Berhad (PLUS), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), dan St. John Ambulance.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman, Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Dato’ Noor Azam Jamaludin, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalulintas/Pengurusan saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), ACP Zulkifli Jonit, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim, pegawai-pegawai kanan PDRM, dan rakan-rakan media.

0S7A6212
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim melancarkan Op Selamat 14/2019 sempena perayaan Tahun Baru Cina.

0R9A3656
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian.

0R9A3850
0R9A3886
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim melakukan 'Flag-Off' kepada pasukan yang bertugas pada Op Selamat 14/2019.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS