Berita

TAN SRI MOHAMAD FUZI: MUTIARA TERBILANG MILIK WARGA PDR

“Selama tempoh 35 tahun berkhidmat, saya telah mengabdikan seluruh jiwa dan raga kepada Pasukan, demi tanah air yang saya cintai ini. Pelbagai onak dan duri, serta ranjau telah saya harungi sepanjang perjalanan ini.

“Man Jadda, Wa Wajada’, siapa yang bersungguh-sungguh, pasti beroleh hasilnya, maka, dengan limpah rahmatNya jua, saya berjaya harungi cabaran-cabaran yang mendatang.”

Itu antara petikan ucapan perpisahan Ketua Polis Negara (KPN) ke-11, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam Majlis Serah Terima Tugas Jawatan KPN yang berlangsung di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, pagi tadi.

Demikian bait ucapan yang menceritakan pengorbanan dan perjalanan karier, permata terbilang milik warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang begitu disegani dan tiada galang ganti.

Sebut sahaja nama Tan Sri Mohamad Fuzi, sudah terpahat dalam kotak pemikiran bahawa beliau adalah ‘Bapa kepada setiap insan yang bergelar Polis’ kerana setiap nasihat dan baktinya seolah-olah begitu dekat dengan jiwa seluruh warga PDRM.

Anak jati Parit, Perak itu dilahirkan pada 4 Mei 1959. Beliau memulakan karier kepolisannya pada 8 Januari 1984 sebagai Kadet ASP. Sepanjang berkhidmat dengan PDRM, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting seperti Pegawai Turus Urus Setia Cawangan Khas dan Ketua Pegawai Turus Bahagian E4 Cawangan Khas, Bukit Aman.

Beliau juga pernah diamanahkan menjadi Ketua Cawangan Khas Sabah, Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Pengarah Bahagian Pasukan Petugas Khas (Counter Terrorism), Pengarah Pengurusan PDRM, Pengarah Cawangan Khas dan mengakhiri kariernya sebagai KPN, yang mula disandang pada 4 September 2017.

Bagi yang mengenali beliau, wajahnya yang sentiasa tenang dan sifatnya yang peramah tetapi tegas dalam membuat keputusan, menjadikan dirinya begitu disenangi dan mudah didekati.

Dalam pada itu, naluri beliau juga sarat dengan keprihatinan dalam menjaga kebajikan dan kepentingan pegawai serta anggota bawahannya. Apa yang pasti, kelibat Tan Sri Mohamad Fuzi akan dirindui oleh seluruh warga PDRM selepas ini.

Sebagai menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkannya kepada pasukan serta negara, Majlis Perbarisan Perpisahan dan Paluan Berundur buat Tan Sri Mohamad Fuzi akan berlangsung di Dataran Kawad, PULAPOL Kuala Lumpur, petang ini.

Telah menjadi tradisi dan adat dalam PDRM bahawa di dataran kawad keramat itulah lahirnya seorang pemimpin pasukan dan di situ jugalah individu itu akan diraikan sebaik sahaja sampai hari persaraan.

Terdahulu, majlis bersejarah pagi tadi turut menyaksikan bekas Pengarah Cawangan Khas, Dato’ Seri Abdul Hamid Bador mengambil alih tugas jawatan KPN ke-12 sambil disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin.

Turut berlangsung, Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Cawangan Khas yang sebelum ini disandang oleh Dato’ Seri Abdul Hamid kepada Timbalan Pengarah 1 Cawangan Khas, CP Dato’ Ramli Hassan yang akan memangku tugas tersebut, sehingga ke suatu masa yang akan ditetapkan. Upacara tersebut disaksikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Seri Alwi Haji Ibrahim.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia yang baharu, Datin Sri Norazrin Marzuki juga telah menyerahkan tugas Pengerusi PERKEP Cawangan Khas kepada pemangkunya, Datin Marziah Abdul Malik sambil disaksikan oleh suri kepada KSU Kementerian Dalam Negeri, Datin Sri Roba’Aisyah Mohd Ghazali.

Yang turut hadir, barisan Timbalan Ketua Setiusaha Kementerian Dalam Negeri, Pengarah Pengurusan PDRM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis, CP Dato’ Abd Rahim Jaafar dan isteri, barisan Pengarah PDRM dan isteri serta para pegawai kanan PDRM dan Kementerian Dalam Negeri.

Seluruh warga PDRM amat berterima kasih dan menyanjung tinggi, khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sesungguhnya, negara dan Pasukan amat terhutang budi kepada Tan Sri. Semoga Tan Sri sentiasa dilindungi Allah SWT serta sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera.

Image may contain: 3 people, people smiling, people standing, suit and text
Upacara penyerahan 'Tongkat Kuasa' sebagai simbolik peralihan tampuk pimpinan PDRM daripada Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun kepada Dato' Seri Abdul Hamid Bador.

Image may contain: 17 people, people standing
Sesi bergambar kenangan pucuk pimpinan PDRM bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin.

Image may contain: 2 people, people standing
Sesi menandatangani buku pelawat oleh CP Dato’ Seri Abdul Hamid Bador.

Image may contain: 7 people, people standing
Sekitar ketibaan Menteri Dalam Negeri.

Image may contain: 9 people, people smiling, people standing
Ketibaan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin.

Image may contain: 4 people, people standing and suit
Sesi menandatangani buku pelawat oleh Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun.

Image may contain: 11 people, people sitting
Suasana sekitar majlis.

Image may contain: 7 people, crowd, wedding and indoor
Suasana sekitar majlis.

Image may contain: 3 people, people standing
Sesi penyematan pangkat Ketua Polis Negara kepada Dato' Seri Abdul Hamid oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin.

Image may contain: 1 person, night and hat
Selamat bersara Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun.

Image may contain: 7 people, people smiling
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun menaiki kenderaan Istiadat ke Balai Pengawal PULAPOL KL.

Image may contain: 1 person, smiling, standing
Selamat bersara Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun.

Image may contain: 2 people, outdoor
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun memimpin persembahan Pancaragam Pusat PDRM.

Image may contain: 3 people, people smiling, tree and outdoor
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun menaiki kenderaan Istiadat ke Balai Pengawal PULAPOL KL.


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS