Berita

266 POLIS BANTUAN MAHB LAFAZ IKRAR, SUMPAH TAAT SETIA

Sepang, 31 Januari 2020 – Laungan ikrar dan sumpah taat setia oleh 266 pelatih Polis Bantuan bergema pada Majlis Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang berlangsung di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi tadi.

Majlis yang disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador itu sebagai meraikan kejayaan 17 pelatih pegawai dan 249 anggota MAHB selepas menamatkan latihan asas selama enam bulan di bawah kendalian Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur dan School of Aviation Security Malaysia Airport Training Centre.

Dalam amanatnya, Tan Sri Abdul Hamid berharap agar kesemua bakal Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan MAHB akan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh integriti, berhemah, berdedikasi dan ikhlas.

“Jauhi gejala-gejala negatif seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, penagihan dadah dan maksiat, kerana ia bukan sahaja merosakkan diri sendiri, tetapi mampu menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepolisan,” ujar beliau.
 
Tambah Tan Sri Abdul Hamid, MAHB yang memiliki kekuatan Polis Bantuan terbesar iaitu seramai 4,120 orang, dilihat begitu menyokong keperluan penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terutama di semua lapangan terbang antarabangsa bagi memelihara dan menjamin keselamatan di pintu masuk utama negara.

“Komitmen dan kolaborasi antara PDRM dengan Aviation Security (AVSEC), Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA telah berjaya merekodkan penurunan jenayah indeks sebanyak 10.84 peratus, iaitu 74 kes bagi tahun 2019, berbanding 83 kes pada tahun 2018.

Begitu juga dengan jenayah non-indeks yang mencatatkan penurunan sebanyak 116 kes bagi tahun 2019, berbanding 118 kes,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menasihati semua petugas di pintu-pintu masuk negara agar menjaga kesihatan dan mengambil langkah-langkah perlindungan yang sewajarnya dalam berhadapan dengan penularan wabak Novel Coronavirus. 

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Kontinjen Selangor, SAC Dato' Kumaran Karuppannan, Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan (JPJKK), Bukit Aman, SAC Tuan Mohd Soaihami Rahim, para pegawai kanan polis, ahli keluarga para pelatih serta rakan media.

Image may contain: 6 people
Bacaan lafaz ikrar, sumpah taat setia di Majlis Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Image may contain: 16 people, people standing
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador memeriksa kawalan kerhormatan.

Image may contain: outdoor
Sekitar Majlis Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang berlangsung di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Image may contain: 4 people, people standing and suit
Nyanyian lagu Negaraku.

Image may contain: 9 people, people standing
Sekitar Majlis Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang berlangsung di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).






PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS