Berita

ARTIKEL PILIHAN: SEMBILAN DITAHAN BUAT KECOH DALAM BALAI POLIS

Port Dickson, 13 Februari 2020 - Polis menahan sembilan individu yang didakwa membuat kecoh dan bergaduh dalam kejadian di Balai Polis Port Dickson pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana merusuh, membuat ugutan jenayah terhadap anggota polis dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 1 minit 53 saat yang memaparkan sekumpulan individu bertindak agresif ketika berada di dalam balai polis berkenaan.

Beliau dalam kenyataannya berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian bermula daripada satu kumpulan lelaki yang sedang mabuk bertindak memecahkan cermin kereta milik seorang lelaki lain dengan menggunakan parang di Taman PD Utama, Port Dickson.

Ekoran pergaduhan berkenaan, ia berlarutan sehingga ke perkarangan Balai Polis Port Dickson dan pihak polis berjaya menahan semua suspek lelaki berusia dari 24 hingga 33 tahun.

Jelasnya, semua suspek ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Semakan polis juga mendapati, lima suspek mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dan narkotik, manakala empat lagi tiada rekod selain dua orang daripada mereka juga didapati gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diperiksa oleh polis.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati seorang suspek didapati positif dadah jenis methamphetamin,” ujar beliau.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506/186/148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Sumber: Astro AWANI

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS