Berita

BERITA PALSU: PERHILITAN NAFI KELIBAT SINGA DI WESTPORT

Pelabuhan Klang, 13 Februari 2020 - Gambar seekor singa kononnya terlepas dari sebuah kontena dan didapati berkeliaran di kawasan Westport yang tersebar menerusi WhatsApp disahkan tidak benar.

Ketua Pengarah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya sudah mendapatkan pengesahan dengan pihak berkuasa di situ.

“Mengenai kehadiran singa di Westport, PERHILITAN Selangor sudah menghubungi polis bantuan di Westport serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Pihak polis bantuan mengatakan maklumat itu adalah palsu kerana tiada apa yang berlaku seperti dikatakan dan gambar itu pernah viral sebelum ini.

“Pihak kastam mengatakan kontena dengan nombor siri berkenaan tiada di pelabuhan dan sudah keluar dalam bulan Disember tahun lalu,” katanya ketika dihubungi BH.

Pengarah PERHILITAN Selangor, Haidar Khan Mokbolhasan pula berkata pihaknya tentu akan segera dimaklumkan jika kejadian itu benar.

“Kalau ada (import atau eksport membabitkan haiwan), pihak pelabuhan atau kastam akan maklumkan kepada Jabatan PERHILITAN Selangor.

“Jabatan semak dengan polis Westport di pelabuhan dan kastam, maklumat itu palsu dan tidak seperti yang viral,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Amar Ramli mengesahkan tiada urusan import dan eksport binatang di Westport.

“Itu tidak benar. Westport tidak eksport atau import binatang. Saya sudah mendapatkan pengesahan dengan pegawai Westport,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar singa berada berhampiran kontena dengan keterangan kononnya ia adalah di Wesport sehingga menyebabkan operasi di situ dihentikan.

Pihak berkuasa meminta orang ramai berhentikan menyebarkan gambar berkenaan.

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS