Berita

ARTIKEL PILIHAN: 'PENGORBANANMU KAMI HARGAI'

#COVID-19

ARTIKEL PILIHAN: 'PENGORBANANMU KAMI HARGAI'

Berhujan dan berpanas tanpa mengira siang atau malam, terpaksa makan ala kadar selain jarang bertemu ahli keluarga demi memastikan proses Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan lancar.

Lebih menyedihkan ada di antara wira tidak didendang ini dimarahi selain dimaki ketika tugas pemeriksaan dilaksanakan kerana dianggap menyebabkan kesesakan lalu lintas serta menyusahkan pergerakan awam.

Malah, golongan ini juga pada hakikatnya berdepan dengan risiko besar dijangkiti Covid-19 ketika menjalankan tugas hakiki mereka.

Namun, semua itu diketepikan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas bagi memastikan proses PKP berjalan lancar.

Bagi Inspektor Nuni Elizani Mohd Sani, sambutan Hari Polis tahun ini ternyata menguji kekuatan mereka berikutan penularan wabak Covid-19.

“Apa pun tugas pada negara lebih penting dan semuanya untuk kesenangan rakyat. Ada di antara kami cuti dibekukan, anak-anak di rumah terabai itu tidak termasuk berpanas, berhujan lagi terutama ketika PKP.

“Diharap cabaran yang kami hadapi sekarang menguatkan lagi semua anggota dan pegawai sekali gus dapat membuktikan kepada rakyat bahawa PDRM sentiasa bersedia walau apa sekali pun berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM Superintendan Rasha Azaldin Shafii berkata, sepanjang tempoh 29 tahun berkhidmat, tahun ini kali pertama dia tidak menghadiri perhimpunan sempena sambutan Hari Polis.

“Sebelum perlaksanaan PKP, saya sedang bercuti di kampung di Machang, Kelantan dan dipanggil bertugas bagi membantu perlaksanaan arahan perintah berkenaan.

“Bertugas dalam bidang ini, saya amat memahami keadaan semasa yang memerlukan keringat pihak polis untuk menjaga keselamatan negara,” katanya.

#StayHome #BeSafe
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN