Berita

KETUA KOMUNIKASI KORPORAT PDRM TINJAU OPERASI PENGUATKUASAAN PKP

#COVID-19

Kuala Lumpur, 28 Mac 2020 - Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), SAC Dato' Asmawati Ahmad telah membuat tinjauan operasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Plaza Tol Jalan Duta, di sini, petang tadi.

Dalam tinjauan itu, Dato' Asmawati berkesempatan melihat sendiri kesiapsiagaan pegawai dan anggota JSPT yang menjalankan operasi selain menyantuni pemandu kenderaan awam yang melalui plaza tol berkenaan.

"PDRM mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama sepenuhnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini dilaksanakan.

"Walau bagaimanapun, masih ada segelintir masyarakat yang mungkin kurang memahami tujuan diadakan PKP ini dengan memberikan alasan-alasan yang tidak munasabah untuk keluar rumah," ujar beliau ketika ditemui selepas membuat tinjauan operasi PKP.

Kelmarin, pucuk pimpinan PDRM dilapor mengeluarkan arahan tegas kepada semua petugas Op Covid-19 untuk menahan mana-mana pihak yang sengaja melanggar PKP.

Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Pahlawan Mazlan Mansor, dipetik berkata PKP itu dilaksanakan sebagai usaha memutuskan rangkaian pandemik wabak Covid-19 dan kerjasama sepenuhnya daripada orang ramai diperlukan untuk membantu pihak berkuasa menanganinya.

Dalam pada itu, Dato' Asmawati turut menzahirkan penghargaan kepada orang perseorangan, masyarakat dan badan-badan kerajaan serta swasta yang bermurah hati menyumbangkan makanan dan lain-lain keperluan kepada PDRM.

Beliau walau bagaimanapun menasihati masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan alasan hendak memberikan sumbangan kepada para petugas semata-mata untuk bebas bergerak di kala PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu.

Tinjauan di lokasi mendapati, terdapat empat buah khemah tempat berteduh dan mendirikan solat disediakan oleh pihak PLUS Expressway Berhad, sebuah khemah bagi tetamu kenamaan yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus dan dua buah tandas bergerak dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Turut mengiringi beliau dalam tinjauan tadi ialah Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT Bukit Aman, Superintendan Dr. Bakri Zainal Abidin dan Pegawai Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), DSP Nor Azlinda Abdul Halim.

#StayHome #Besafe HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN

Image may contain: 1 person, standing and outdoor
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), SAC Dato' Asmawati Ahmad membuat tinjauan operasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Plaza Tol Jalan Duta.

Image may contain: one or more people, people standing, car and outdoor
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), SAC Dato' Asmawati Ahmad menyantuni pemandu kenderaan awam yang melalui plaza tol berkenaan.

Image may contain: one or more people, people standing and outdoor
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), SAC Dato' Asmawati Ahmad menyantuni pemandu kenderaan awam yang melalui plaza tol berkenaan.

Image may contain: one or more people, car and outdoor
Sekitar penugasan anggota PDRM sepanjang operasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Image may contain: people standing, shoes and outdoor
Dua buah tandas bergerak untuk kegunaan para petugas yang disumbangkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS