Berita

#COVID-19 ARTIKEL PILIHAN: KAWALAN KETAT DI SEMPADAN

Kuala Lumpur, 2 Mei 2020 - Pengawalan ketat di sempadan merupakan satu kunci yang perlu, bagi memastikan tidak berlakunya kes ‘import’ COVID-19 walaupun kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi membolehkan aktiviti ekonomi dimulakan semula pada 4 Mei.

Faktor pengawalan sempadan telah diberikan penekanan berulang kali oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pada hampir kesemua sidang media harian COVID-19 sejak Malaysia diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac.

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi Buang TUDM telah mengotakan janji mereka, dan telah meningkatkan pengawalan di semua pusat pemeriksaan sempadan.

Pegawai dan anggota keselamatan juga terus berjaga-jaga dalam memantau, mana-mana pihak yang cuba untuk menyeludup masuk ke negara menerusi pelbagai laluan tikus, jalan haram menerusi hutan dan ladang, yang juga digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

Tugas mengawal dan menjaga keseluruhan sempadan negara bukanlah suatu yang mudah, dengan kira-kira 3,000 kilometer (km) sempadan daratan dan sempadan perairan lebih 4,600km yang dikongsi Malaysia bersama negara jiran Thailand, Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan juga Vietnam.

Namun tugas itu perlu dilakukan. Dilaporkan anggota keselamatan kini menjalankan pemeriksaan di semua tempat, dalam usaha mereka memastikan kawasan di sempadan berada dalam kawalan.

Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin dalam amanat pada 1 Mei berkata, pengawalan sempadan yang lebih ketat merupakan satu daripada kriteria, yang telah diambil kira sebelum menguatkuasakan PKPB bagi membolehkan aktiviti ekonomi dimulakan semula, pada 4 Mei.

Pegawai pemerintah Ops Wawasan Kedah/Perlis Superintendan Abd Razak Md Din berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion ke-18 yang berpangkalan di Pengkalan Hulu, Perak, telah meningkatkan jumlah anggota dan rondaan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, sejak mengambil tugas tersebut pada 1 April.

“Lebih banyak rondaan dilakukan di kawasan ‘hotspot’ seperti di Wang Kelian, Kuala Sanglang, Padang Besar dan Chuping, terutamanya di laluan tikus yang digemari pendatang asing dan juga penyeludup,” katanya kepada Bernama.

Katanya pengawalan ketat pada masa ini telah mengelakkan pendatang asing daripada masuk ke negara ini dan pada April, hanya dua pendatang asing ditangkap. Bagaimanapun katanya, ada peningkatan dalam penyeludupan daun ketum, dengan 8.4 tan bernilai RM472,000 dirampas pada April.

Ketua Polis Perlis, SAC Dato’ Surina Saad berkata, pihaknya sentiasa menjalankan kerja-kerja risikan secara berkala bagi mendapatkan maklumat mengenai kemungkinan kemasukan pendatang asing ke negara ini.

Bacaan lanjut menerusi pautan berikut
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1837671

#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS