Berita

ARTIKEL PILIHAN: POLIS SIASAT INSIDEN PERSELISIHAN FAHAM PEMANDU VIOS DAN PENGHANTAR MAKANAN


Kuala Lumpur, 20 Mei 2020 - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian perselisihan faham antara seorang wanita penghantar makanan dengan seorang lelaki di Bandar Puteri, Puchong, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Tuan Ismadi Borhan, mengesahkan pihaknya ada menerima satu laporan berhubung insiden itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kita sudah memanggil kedua-dua pihak untuk dirakam percakapan dan hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada salah faham. Tiada sebarang kecederaan dialami oleh kedua-dua pihak dilaporkan dalam kejadian itu.

"Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan kita meminta semua pihak bertenang serta tidak mengeluarkan sebarang komen yang boleh memecahkan keamanan dan mendatangkan kegusaran awam," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, insiden kira-kira jam 4 petang itu berlaku apabila wanita menunggang motosikal terbabit dikatakan mahu memotong kereta dipandu lelaki berkenaan yang hendak membuat pusingan U di Jalan Puteri 9/1, Bandar Puteri, Puchong, sehingga didakwa membabitkan kekasaran.

Dua rakaman video, termasuk satu daripada kamera litar tertutup (CCTV), berhubung kejadian itu tular dalam media sosial sejak petang semalam.

Sumber: Berita Harian Online

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/05/690831/polis-siasat-insiden-perselisihan-faham-dua-pengguna-jalan-raya-di-puchong?fbclid=IwAR1Be7MaRCaET4vK14PG6ydfa1DM-BibPfIBC5-lTFJZXv1Sqn1-X7ji-O8
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS