Berita

JASAMU DIKENANG, SELAMAT BERSARA BUAT DATO' SRI MOHD ZAKARIA

 
Kuala Lumpur, 26 Jun 2020 - "Bunga Seroja Di Hujung Tanjung, Jatuh Ditimpa Buah Berangan, Jasamu Tuan Kekal Disanjung, Kekal Terpahat Dalam Kenangan."

Itulah serangkap pantun tanda 'hadiah' oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato' Seri Abdul Hamid Bador yang mewakili seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato' Sri Mohd Zakaria Ahmad yang akan menjalani persaraan wajib pada 28 Jun ini, setelah lebih 40 tahun menabur bakti dalam Pasukan.

Insan yang lebih mesra dikenali sebagai 'Pak Ya' di kalangan rakan sejawatannya, dilantik menerajui JSJK sejak setahun lalu dan ketelitian hasil kerja beliau telah membawa jabatan itu hari ini ke satu tahap yang sangat memberangsangkan.

Dato’ Sri Mohd Zakaria juga terkenal dengan sifatnya yang “mesra tetapi tegas” dalam kalangan warga PDRM dan pakar rujuk terutamanya dalam selok-belok siasatan kes-kes jenayah berprofil tinggi khasnya jenayah kolar putih dalam negara.

Dilahirkan di Klian Intan, Perak pada 28 Jun 1960, Dato' Sri Mohd Zakaria memulakan kerjaya dalam dunia kepolisan sebagai seorang Inspektor Percubaan selepas tamat menjalani Program Latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau semasa dalam Pasukan ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah, Pahang dan Pulau Pinang serta pernah diamanahkan menjadi Timbalan Ketua Polis Johor sebelum dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan), Bukit Aman.

Graduan Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia dan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu juga pernah diberi kepercayaan menjadi Ketua Polis Pahang dari tahun 2018 sehingga 2019.

Kewibawaan dan kepimpinannya yang semakin terserlah telah membolehkan pucuk pimpinan PDRM memilih beliau menjawat jawatan sebagai Pengarah JSJK, Bukit Aman pada 17 Jun 2019 di puncak karier beliau.

Sebagai menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan beliau dalam Pasukan selama ini, satu Majlis Paluan Berundur Pengarah JSJK telah diadakan di Dataran Kawad PULAPOL Kuala Lumpur, dekat sini, petang tadi.

Majlis penuh adat istiadat kepolisan itu turut dihadiri oleh Tan Sri Abdul Hamid bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Datin Seri Norazrin Marzuki serta Timbalan KPN, DIG Dato' Pahlawan Mazlan Mansor dan isteri, Datin Farihah Mohd Zamri.

Terdahulu di sebelah pagi tadi telah berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJK di antara Dato' Sri Mohd Zakaria dengan timbalannya yang akan memangku jawatan tersebut, CP Datuk Saiful Azly Haji Kamaruddin dengan disaksikan oleh Tan Sri Abdul Hamid bertempat di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman.

Majlis turut diserikan lagi dengan Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi PERKEP JSJK di antara suri Dato' Sri Mohd Zakaria iaitu Datin Sri Noor Amirzah Othman dengan Datin Syuhada Yahya sambil disaksikan oleh Puan Sri Norazrin sendiri.

Turut hadir, barisan Pengarah PDRM dan isteri, para pegawai kanan dan ahli-ahli PERKEP, ahli keluarga Dato' Sri Mohd Zakaria serta rakan-rakan media.

Bagi pihak seluruh warga Pasukan, kami dari team Media Sosial Rasmi PDRM ingin mengambil kesempatan mengucapkan ‘Selamat Bersara’ dan turut mendoakan agar Dato' Sri diberi kesihatan yang berpanjangan serta bahagia bersama keluarga tercinta.
 


Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato' Sri Mohd Zakaria Ahmad di PULAPOL Kuala Lumpur.
 

Upacara penyerahan dokumen serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di antara CP Dato’ Sri Mohd Zakaria Ahmad kepada CP Datuk Saiful Azly Haji Kamaruddin dengan disaksikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador.


Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato' Sri Mohd Zakaria Ahmad di PULAPOL Kuala Lumpur.
 

Sekitar upacara penyerahan dokumen serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di antara Datin Sri Noor Amirzah Othman kepada Datin Syuhada Yahya dengan disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datin Seri Norazrin Marzuki.


Ketibaan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato’ Sri Mohd Zakaria Ahmad pada Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di PULAPOL Kuala Lumpur.
 

CP Dato’ Sri Mohd Zakaria Ahmad diberi penghormatan memimpin Pancaragam Pusat PDRM pada Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di PULAPOL Kuala Lumpur.
 

Penyampaian cenderahati oleh Penolong Pengarah Muzik Pusat PDRM, Inspektor Mohd Farhan Mohd Safirun kepada CP Dato’ Sri Mohd Zakaria Ahmad.
 

Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato' Sri Mohd Zakaria Ahmad di PULAPOL Kuala Lumpur.


Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato' Sri Mohd Zakaria Ahmad di PULAPOL Kuala Lumpur.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato' Sri Mohd Zakaria Ahmad bergambar kenangan bersama keluarga.

Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato' Sri Mohd Zakaria Ahmad di PULAPOL Kuala Lumpur.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS