Kejayaan

GORES DAN MENANG: 27 DITAHAN DALAM DUA SERBUAN

GORES DAN MENANG: 27 DITAHAN DALAM DUA SERBUAN 

Melaka, 12 Nov - Polis menahan 27 orang disyaki terlibat dengan sindiket gores dan menang dalam dua serbuan di premis sama di Taman Merdeka Permai, Batu Berendam di sini pada Khamis dan Isnin lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata dalam serbuan pertama pada Khamis, polis menahan tujuh orang termasuk dua wanita dalam serbuan pada 11 pagi manakala 20 orang termasuk lima wanita ditahan dalam serbuan pada 3 petang, 
pada Isnin.

Beliau berkata mereka yang ditahan berumur antara 17 dan 40 tahun dan bekerja sebagai pengurus syarikat, penjaga premis serta jurujual gores dan menang.

"Siasatan awal mendapati syarikat yang terlibat dengan sindiket itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan menyasarkan pasar raya besar di negeri ini untuk mencari mangsa.

"Hanya dua daripada yang ditahan berasal dari Melaka manakala kerugian, bilangan kes terlibat dan jumlah mangsa masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Perihal Dagangan 2011.

Beliau berkata antara Mac hingga Oktober lepas, sebanyak 181 kes gores dan menang dilaporkan di negeri ini melibatkan kerugian berjumlah RM1.5 juta.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak sama sekali mempercayai apa yang ditawarkan sindiket gores dan menang ini, malah sekiranya didekati jurujual atau ejen sindiket ini, orang ramai perlu terus menolak dan menjauhkan diri," katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS