Kejayaan

POLIS KELANTAN RAMPAS 62,000 PIL KUDA BERNILAI RM1.24 JUTA DI TUMPAT

Kota Bharu, 25 September 2016 - Polis Kelantan merampas sebanyak 62,000 pil kuda bernilai RM1.24 juta dalam serbuan di Wakaf Bharu, Tumpat, Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata rampasan itu adalah hasil operasi sepasukan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dan merupakan antara kejayaan terbesar polis Kelantan pada tahun ini.

Ab Rahman berkata dalam kejadian pada 4.20 petang itu, pasukan tersebut yang
melakukan operasi di Kampung Pasir Pekan Hilir mengesan seorang pemuda dalam
keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta sebelum bertindak menahan suspek.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek berusia 24 tahun itu, menemukan satu beg kain di kerusi hadapan sebelah pemandu yang mengandungi 6,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM120,000.

"Suspek kemudiannya membawa anggota polis ke sebuah rumah di Wakaf Bharu, kira-kira 8 kilometer dari tempat dia ditahan dan menyerahkan sebuah beg berisi 56,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM1.12 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rahman berkata hasil siasatan mendapati suspek mempunyai kesalahan lampau di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol pada 2011.

Beliau berkata ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek adalah negatif dan pemuda berkenaan direman tujuh hari bermula tarikh tangkap sehingga Khamis ini.

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rahman berkata dalam Operasi Bersepadu di Kuala Krai dan Gua Musang bermula pukul 10 malam hingga 9 pagi hari ini, polis menahan 103 individu bersabit dengan pelbagai kesalahan dadah serta jenayah.

Beliau berkata dalam operasi itu juga, pihaknya turut merampas 1,168 biji pil kuda, air ketum, daun ketum, heroin dan ubat batuk bernilai RM23,420.

"Polis Kelantan akan terus menjalankan operasi di setiap dua daerah setiap minggu bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan setakat ini kita telah melakukan operasi di 15 kampung di Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat dan Machang," katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS