Kejayaan

OP NODA: 39 DITAHAN, 22 MANGSA PEMERDAGANGAN MANUSIA DISELAMATKAN

Kuala Lumpur, 28 September 2016 - Sebanyak 24 wanita dan empat lelaki warga asing ditahan dalam Op Noda di 10 premis hiburan di sekitar Klang, Kajang dan Brickfields, semalam.

Dalam operasi empat jam bermula 7.30 malam oleh Unit Tindakan Khas Jenayah
Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman
itu, sebanyak tujuh lelaki dan empat wanita dipercayai penjaga premis turut ditahan.

Ketua Penolong Pengarah STAGG SAC Khairi Ahrasa berkata kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 41 tahun dan masing-masing berasal dari Vietnam, China, Thailand, Indonesia serta Bangladesh.

"Serbuan dibuat di premis hiburan yang dikendalikan tanpa lesen, khas untuk pelanggan tetap dan dikawal dengan kamera litar tertutup (CCTV).

"Modus operandi yang digunakan dalam premis itu adalah menawarkan perkhidmatan GRO dan mereka boleh dibawa keluar untuk melakukan hubungan seks atas permintaan pelanggan," katanya dalam pesanan WhatsApp kepada Bernama petang
tadi.

Khairi berkata premis itu turut menawarkan perkhidmatan urutan seks bagi lelaki atau istilah yang dipanggil 'pingpong'.

Berikutan itu, pihaknya juga berjaya menyelamatkan 22 wanita mangsa pemerdagangan manusia terdiri dari warga Indonesia, Thailand dan Vietnam.

"Kesemua manga yang diselamatkan dikawal dalam bilik khas manakala pasport
milik mereka disimpan oleh anggota sindiket berkenaan," katanya.

Khairi berkata polis turut merampas antaranya wang tunai berjumlah RM6,994, 84 kondom, 27 tuala, 16 minyak urut, sembilan telefon bimbit dan barangan berkaitan seperti resil/bil perniagaan dalam operasi berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 12, 13 dan 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pusat Kesihatan Majlis Tempatan.

Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Kajang, IPD Klang dan IPD Brickfields untuk siasatan lanjut, katanya.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS