Kejayaan

POLIS MELAKA TAHAN LELAKI, RAMPAS DADAH BERNILAI RM150,000

Melaka, 28 September 2016 - Polis Melaka menahan seorang lelaki dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah di negeri ini dan merampas 14 paket dadah disyaki heroin dianggarkan bernilai RM150,000 di lokasi berasingan di daerah Melaka Tengah pada Jumaat lepas. 

Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din berkata di lokasi pertama di Taman Bukit Serindit di sini, suspek berusia 35 tahun dan bekerja di sebuah restoran ditahan bersama-sama enam paket plastik dipercayai berisi heroin seberat 2.74 kilogram yang ditemukan di dalam sebuah kereta Proton Iswara yang diparkir di hadapan sebuah rumah.

"Ketika ditahan pada kira-kira 1.45 tengah hari, lelaki berkenaan sedang berdiri di sebelah kereta itu yang merupakan milik rakannya dan hasil pemeriksaan di dalam kereta, polis menjumpai enam paket itu.

"Susulan itu, polis kemudian melakukan pemeriksaan di dalam rumah yang disewa suspek dan menjumpai sepucuk pistol angin dan satu kelopak peluru," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Ramli berkata suspek direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen
39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ramli berkata sebuah beg mengandungi lapan paket lutsinar berisi dadah disyaki heroin dianggarkan seberat 3.6 kilogram dijumpai ditinggalkan di sebuah hotel di Jalan Bunga Raya di sini pada kira-kira 11.30 malam hari sama.

"Beg berkenaan diletakkan di pintu kecemasan hotel tersebut dan disyaki ada hubung kait dengan penahanan suspek dan rampasan dadah di Bukit Serindit kerana dadah berkenaan mempunyai persamaan dari segi bentuk, jenis dan cara pembungkusannya," katanya.

Beliau berkata beg itu dijumpai oleh seorang pengawal keselamatan hotel itu dan hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup di premis itu, polis telah mengenal pasti dua lelaki yang meletakkan beg berisi dadah berkenaan dan operasi mengesan mereka sedang giat dijalankan. 

"Siasatan awal mengesyaki beg berisi dadah berkenaan diletakkan di hotel berkenaan sebelum individu lain datang untuk mengambilnya," katanya.

Ramli berkata dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Lembah Klang untuk diedarkan di sekitar negeri ini dan kegiatan itu dipercayai mula aktif sejak lebih sebulan lepas.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS