Kejayaan

POLIS TAMPIN NAFI PENEMUAN MAYAT KANAK-KANAK SEPERTI YANG TERSEBAR DI MEDIA SOSIAL

Tampin, 15 Sept 2018 – Polis menafikan mengenai berita penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui mati dibunuh di Taman Jaya Gemas, dekat sini, seperti mana yang tersebar di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Ramli Kasa berkata berita tentang penemuan mayat yang disumbat ke dalam beg pakaian sebelum dicampak ke longkang itu merupakan kes lama yang berlaku pada tahun 2014.

“Saya menafikan mengenai ulangan berita palsu tentang kejadian mayat kanak-kanak tersebut dan ia adalah perkara yang berlaku kira-kira empat tahun yang lalu. Kita kena berhati-hati jika nak berkongsi sesuatu cerita itu dan pastikan kita lihat secara terperinci mengenai tarikh dan masa.

“Hentikan tindakan mengedar dan berkongsi cerita yang tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan terhadap orang awam” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Berita berkenaan pada 9 Ogos 2014 itu kembali mendapat perhatian netizen dan mencetuskan kebimbangan malah ada di antara mereka yang mempersoalkan mengenai berita lama itu yang diulang siar kembali.

Dalam pada itu, Ramli menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dengan berita-berita tular yang dikongsi di media sosial dan perlu sering merujuk pada sumber yang sahih termasuk daripada polis.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS