Kejayaan

POLIS RAMPAS ARAK BERNILAI RM100 RIBU

Bukit Mertajam, 8 Oktober 2018 - Polis merampas arak bernilai kira-kira RM100,000 dalam satu serbuan di sebuah premis menjual minuman keras di Pekan Bukit Mertajam di sini, petang tadi.

Dalam serbuan jam 4 petang itu, polis merampas ribuan botol arak dijual di premis tanpa lesen dan tanpa kebenaran kastam yang sudah beroperasi lebih enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, operasi itu dilakukan berdasarkan risikan pihaknya dan maklumat orang ramai.

“Ada di antara arak yang dijual di sini diragui ketulenannya dan tidak dinyatakan kilang atau pengeluarnya.

“Sebahagian daripada arak itu juga mempunyai kadar alkohol sehingga 60 peratus dan terdiri daripada pelbagai jenama,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dipercayai penjaga premis ditahan bagi tindakan susulan.

“Pemilik premis itu juga didapati menggaji empat pekerja asing terdiri daripada tiga warga nepal dan seorang warga India.

“Kesemua mereka ditahan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan susulan,” katanya.

Menurutnya, premis ini juga mempunyai cawangan lain di kawasan berdekatan dan dipercayai tidak mempunyai kebenaran menjual daripada pihak berkenaan.

Katanya, kesemua botol arak yang dirampas ini juga tidak mempunyai kebenaran import daripada Kastam.

“Premis juga tidak mempunyai lesen perniagaan daripada pihak berwajib,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam kerana memiliki barangan larangan import, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. - BERITA HARIAN ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS