Kejayaan

POLIS PULAU PINANG LUPUS LEBIH 800 KG DADAH BERNILAI RM8.8 JUTA

Kepala Batas, 16 Oktober 2018 - Polis Pulau Pinang melupuskan pelbagai jenis dadah seberat 836.17 kilogram (kg), air dan daun ketum serta mesin memproses pil ekstasi dan psikotropik bernilai RM8.8 juta hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata pelupusan dadah itu melibatkan kes yang telah selesai dibicarakan sejak tahun 2001 hingga 2017 dengan membabitkan 2,684 kertas siasatan di lima daerah di Pulau Pinang.

Polis telah mendapat perintah mahkamah untuk melupuskan semua dadah itu, antaranya ganja sebanyak 695.71kg; heroin (7.35kg); ketamin (1.67kg); methamphetamine (130.05kg); kafein (1.39kg); dan air ketum 257.41 liter serta daun ketum 0.038kg.

"Kami turut melupuskan mesin memproses pil-pil ekstasi dan psikotropik serta pelbagai bahan kimia cecair dan serbuk yang digunakan bagi memproses dadah seperti cecair etanol, asid kimia, kloroform dan dosium sulfat," katanya kepada pemberita di Stor Berpusat Kontijen Polis Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan pelbagai jenis dadah itu kepada Kualiti Alam Sdn Bhd (Kualiti Alam) untuk dimusnahkan di premis syarikat itu di Seremban, Negeri Sembilan.

Roslee berkata sejak Januari hingga semalam, sebanyak lapan makmal haram dadah di Pulau Pinang berjaya ditumpaskan dan polis merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu bernilai lebih RM100 juta.

Sumber : BERNAMA, FB PDRM Pulau Pinang

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS