Kejayaan

GENG CHE TAM KECUNDANG

Sungai Petani, 18 Oktober 2018 - Kegiatan Geng Che Tam melakukan samun, curi kereta, culik, ugutan dan dadah berakhir selepas sembilan ahli termasuk seorang penuntut universiti awam (UA) ditahan dalam beberapa serbuan, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek terdiri tujuh lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 31 tahun itu ditahan selepas terbabit dalam jenayah samun, curi kereta, culik, mencederakan orang, ugutan dan dadah membabitkan tiga laporan polis.

Menurutnya, dalam kejadian pertama jam 9 malam, 10 Oktober lalu, anggota Balai Polis Gurun menerima panggilan daripada Bilik Kawalan Trafik Kuala Lumpur berkaitan seorang lelaki ditinggalkan bergari dalam sebuah kereta di Kilometer 86 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.

“Sebaik menerima maklumat, polis bergegas ke lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan tangan bergari pada stereng kereta milik datuknya dan wang tunai RM100 serta telefon bimbitnya dibawa lari oleh suspek.

“Dalam kejadian kedua pada 8.30 malam keesokkannya pula, seorang wanita dikenali anak saudara mangsa datang ke rumah di Taman Lembah Bujang, Merbok dengan menaiki Proton Perdana warna hitam membawa lari dua kunci kereta.

“Manakala, jam 5.40 petang 12 Oktober lalu, tiga lelaki menaiki Toyota Vios datang semula ke rumah itu lalu melarikan dua kereta Honda Accord milik ayah serta abang ipar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Adzli berkata, kejadian ketiga pula berlaku jam 11.45 pagi Isnin lalu di mana seorang penuntut lelaki berusia 20 tahun diculik suspek yang masuk ke dalam kampus itu dengan menaiki Proton Iriz.

“Siasatan mendapati suspek masuk ke dalam kawasan universiti itu selepas meminta kebenaran menghantar seorang penuntut perempuan sebelum mereka menculik mangsa.

“Ketika kejadian itu, turut ditemui beg salah seorang suspek di mana mendapati dia adalah penuntut universiti sama dan bertindak sedemikian kerana cemburu dengan mangsa.

“Pada masa sama, suspek wanita yang melarikan kunci kereta itu pula ditahan di perkarangan Kompleks Mahkamah Sungai Petani kerana terbabit dalam curi kereta jam 10 pagi Isnin lalu,” katanya.

Katanya, susulan penahanan wanita terbabit, polis kemudian menahan tiga lelaki di sebuah rumah di Taman Malinja, Semeling jam 11.30 pagi hari sama dan menemui sejumlah dadah jenis syabu.

“Pada jam 12.45 tengah hari, kereta Proton Iriz yang menculik penuntut terbabit tiba di rumah itu yang dinaiki dua lelaki dan seorang wanita sebelum pemeriksaan menemui mangsa di belakang tempat duduk kereta dalam keadaan tangan dan kaki berikat serta berdarah di lutut kanan.

“Susulan itu, kita membuat serbuan di Taman Peruda dan menahan seorang lelaki jam 7.20 malam dan seorang lagi lelaki ditahan di sebuah rumah di Kampung Haji Wahab, Batu 2 Jalan Kuala Ketil,” katanya.

Katanya, polis turut merampas semula kereta yang dilaporkan hilang di Merbok dan siasatan mendapati mereka terbabit dalam tiga kes itu di mana ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya positif syabu.

“Siasatan mendapati motif kejadian akibat dadah dan cemburu serta semua suspek direman enam hari sehingga Ahad ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394, Seksyen 324, Seksyen 365, Seksyen 506 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS