Kejayaan

POLIS RAMPAS SYABU RM27.8 JUTA, DUA ANGGOTA SINDIKET DITAHAN

 

Shah Alam, 24 Jun 2019 - Polis Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini dan merampas dadah jenis Syabu seberat 556.2 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM27.8 juta dalam satu serbuan di Subang Jaya dekat Shah Alam, Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor, CP Dato' Noor Azam Jamaludin berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang di sebuah rumah teres dua tingkat di Subang Mewah, Subang Jaya, pihaknya turut menahan dua penjaga rumah berkenaan yang dipercayai anggota sindiket.

"Ketika serbuan, polis menjumpai sebanyak 87.55 kg dadah jenis Syabu disimpan dalam 85 bungkusan teh cina di ruang tamu rumah berkenaan.

"Soal siasat kami terhadap dua suspek itu kemudian membawa kepada penemuan sebanyak 468.65 kg dadah jenis Syabu yang disimpan dalam 455 bungkusan teh cina yang disembunyikan dalam sebuah kereta jenis MPV di ruang letak kereta rumah berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Shah Alam, hari ini.

Dato' Noor Azam berkata, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket berkenaan mula bergerak aktif sejak tiga bulan lepas dan mendapat bekalan dadah dari negara 'segitiga emas' iaitu Myammar, Laos dan Thailand.

"Kami percaya dadah yang dirampas ini adalah untuk pasaran tempatan sekitar Lembah Klang dan Johor serta untuk dieksport ke luar negara antaranya ke Indonesia dan Jepun,"katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 18 tahun dan 28 tahun direman sehingga 28 Jun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau mengulas lanjut, nilai pasaran bagi Syabu yang disimpan dalam satu bungkusan teh cina seberat kira-kira satu kilogram berharga RM50,000 untuk pasaran tempatan dan mampu mencecah sehingga RM100,000 di pasaran antarabangsa.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS