Keratan Akhbar

#WarAgainstDrugs KERATAN AKHBAR PILIHAN: KETUA SINDIKET DADAH RM42 JUTA DIBURU

Kota Bharu, 8 September 2020 - Polis memburu seorang lelaki tempatan berusia 30-an dipercayai ketua sindiket yang menjadi dalang penyeludupan susulan penemuan dadah bernilai lebih RM42 juta di sebuah rumah di Taman Tanjung Chat di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, DCP Tuan Shafien Mamat berkata, suspek sudah dikenal pasti dan dipercayai masih berada di negara ini.

"Suspek melarikan diri sebaik sahaja rumah sewa yang dijadikan transit dadah bernilai lebih RM42 juta itu diserbu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, semalam.

Beliau berkata, serbuan Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan pada jam 10 malam 1 September lalu menemui Ganja seberat lebih 1,200 kilogram (kg), Syabu lebih 970 kg dan Pil Kuda sebanyak 11,800 biji.

"Turut ditemui sepucuk pistol dan lapan peluru. Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang disewa berada di hadapan rumah itu dipercayai ada kaitan dengan penemuan dadah berkenaan.

"Susulan itu, enam anggota sindiket berusia 25 sehingga 33 tahun termasuk seorang wanita berjaya ditahan di sebuah rumah di Wakaf Che Yeh pada jam 1.20 pagi, 2 September lalu," katanya.

Tuan Shafien berkata, sindiket dipercayai aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan di seluruh negara dalam tempoh empat bulan lalu.

Katanya, suspek lelaki mempunyai rekod lampau dan dua daripada mereka positif dadah jenis Metamphetamine.

Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar Sinar Harian seperti berikut.

Sumber: Sinar Harian

Image may contain: 6 people, text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS