Keratan Akhbar

#WarAgainstDrugs KERATAN AKHBAR PILIHAN: ANAK MUDA JADI BUDAK SURUHAN - KPN

Kuala Lumpur, 11 September 2020 - Ramai anak muda terjebak dan dijadikan alat atau 'budak suruhan sindiket dadah tempatan hingga sanggup mempertaruhkan nyawa di tali gantung.

Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador yang melahirkan kebimbangan susulan beberapa siri tangkapan dan peningkatan kes penyeludupan masuk dadah skala besar sejak kebelakangan ini.

Beliau mengakui penyalahgunaan dadah kini didapati semakin membimbangkan kerana sudah merebak ke setiap lapisan masyarakat.

Beliau yang dihubungi wartawan Harian Metro memaklumkan, hasil kajian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mendapati penyalahgunaan dadah menular dari desa hinggalah ke bandar.

"Ditambah dengan kewujudan ratusan jenis dadah sintetik, saya bimbang kesannya akan menghancurkan negara.

"Negara akan berdepan dengan masalah rasuah, lain-lain jenayah, kesihatan dan akhirnya kemusnahan ekonomi," katanya.

Beliau turut gusar apabila remaja tercicir persekolahan, penagih dadah muda dan golongan belia penganggur dijadikan sasaran sindiket penyeludupan dadah untuk melakukan kerja kotor itu.

Tan Sri Abdul Hamid berkata, dia sudah membawa perkara ini ke peringkat tertinggi untuk diberi perhatian.

"Saya sedar tentang ancaman ini dan sudahpun membawanya ke perhatian pihak tertinggi kerajaan.

"Dalam pada itu saya sudah pun mula mengambil tindakan drastik, di sebalik pelbagai kekurangan aset untuk menghentikan putaran kemusnahan ini," katanya.

Menurutnya, tindakan holistik sedang diambil dengan membabitkan semua jentera polis serta undang-undang punitif.

Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar Harian Metro seperti berikut.

Sumber: Harian Metro

Image may contain: 1 person
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS