Menu

POLIS RAMPAS DUA LARAS RAIFAL ANGIN, TAHAN SEORANG PEMANDU LORI

POLIS RAMPAS DUA LARAS RAIFAL ANGIN, TAHAN SEORANG PEMANDU LORI

KUCHING, 4 Nov - Polis menahan seorang pemandu lori dan merampas dua laras raifal angin berhubung satu kes melepaskan tembakan semasa kemalangan jalan raya di Jalan Foochow No.1 di sini 31 Okt lalu.

Ketua Polis Bandar Raya Kuching ACP Roslan Bek Roslan berkata kemalangan itu berlaku pada 9.30 pagi dan pada 4.15 petang hari yang sama, polis menyerbu sebuah kedai di Jalan Keranji, Tabuan Desa di sini dan merampas sebuah lori dan
selaras raifal angin yang dipercayai digunakan suspek dalam insiden itu.

Beliau berkata polis juga menahan pemilik kedai berumur 52 tahun bagi membantu siasatan dan pada 5.15 petang hari yang sama polis menahan pemandu lori berumur 57 tahun itu di premis yang sama.

Roslan berkata suspek itu membawa polis ke sebuah pondok di sebuah kampung di Petra Jaya dan hasil pemeriksaan, polis menjumpai selaras lagi raifal angin dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk membuat senjata itu.

“Polis masih menyiasat kes itu kerana kami percaya mungkin banyak lagi senjata yang masih belum dijumpai,” kata Roslan.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api 1971 dan jika didapati bersalah suspek itu berdepan hukuman mati.

“Suspek direman tujuh hari sehingga 7 Nov. Suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu terbabit dalam curi kereta dan samun," kata Roslan.

Dalam insiden 31 Okt itu, pelajar universiti swasta berumur 19 tahun itu sedang memandu kereta dengan kakaknya berada di tempat duduk penumpang apabila sebuah lori melanggar cermin sisi keretanya.

Kedua-dua pemandu keluar untuk memeriksa kerosakan kenderaan masing-masing apabila pemandu lori tiba-tiba menumbuk pelajar berkenaan dan terus memandu lori dan melanggar kereta itu.

Pemandu lori itu didakwa keluar daripada kenderaanya dengan raifal angin dan mengacukannya ke arah kakak pelajar itu lalu melepaskan sedas tembakan di udara sebelum meninggalkan tempat itu. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS