Menu

11 DIBERKAS, LIMA MOTOSIKAL CURI DIRAMPAS DALAM OPS LEJANG POLIS PADANG TERAP


Kuala Nerang, 11 Nov - Polis memberkas 11 lelaki dan merampas lima motosikal curi serta komponen motosikal yang dileraikan dalam serbuan berasingan di Padang Terap menerusi Ops Lejang pada 4 Nov lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Ahmad Nasir Jaafar berkata mereka yang diberkas berusia antara 15 hingga 33 tahun, ditahan dalam empat serbuan sekitar Kuala Nerang, Padang Sanai dan Kampung Tanjung.

"Operasi dijalankan hasil pemerhatian sejak awal tahun dan hasil serbuan pada 4 Nov lalu kita berjaya menahan 11 suspek selain merampas lima motosikal curi jenis Yamaha LC (dua) dan Honda EX5 (tiga) yang dilaporkan hilang di Kuala Nerang (empat) dan Pendang (sebuah) serta komponen-komponen yang dileraikan.

"Motosikal yang dicuri ini digunakan oleh suspek sendiri kerana selain lima motosikal yang dirampas itu, kita turut merampas sebuah motosikal milik ayah salah seorang suspek yang dipercayai telah menggunakan komponen yang dileraikan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya hasil kejayaan itu polis dapat menyelesaikan lima kes kecurian motosikal yang dilaporkan di Kuala Nerang dan Pendang.

Siasatan mendapati ada antara suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Katanya ada suspek yang ditahan reman sehingga Khamis ini dan ada yang telah diikat jamin.

Sementara itu, Ahmad Nasir berkata polis menahan seorang lelaki berumur 27 tahun yang dipercayai terlibat dalam 10 kes pecah rumah di sekitar Kuala Nerang menerusi Ops Pintu pada 19 Okt lalu.

"Hasil tangkapan kita berjaya merampas emas lebur dan barang kemas bernilai RM10,000 dan sekali gus berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah. Suspek telah pun dijatuhkan hukuman penjara selama 40 bulan," katanya. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS