Menu

PDRM KOMITED CAPAI PIAWAIAN HIJAU USAHA PEMBANGUNAN LESTARI

Bukit Mertajam, 12 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited mencapai piawaian 'hijau' dalam usaha menyahut seruan kerajaan untuk pembangunan lestari khususnya 3R (mengurangi, guna semula dan kitar semula).

Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) PRDM Datuk Zulkifli Abdullah berkata pelbagai usaha diambil untuk menjayakan amalan hijau itu.

Beliau berkata projek perintis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur yang menggunakan skuter elektrik bertujuan menjimatkan penggunaan tenaga akan menjadi contoh kepada balai polis lama dalam mendapat pengiktirafan hijau.

"Pembinaan bangunan baharu polis akan menumpukan kepada pencahayaan untuk
mencapai pengiktirafan hijau manakala balai lama akan dipulihara dengan peralatan cekap tenaga.

"Selain itu, usaha penuaian air juga dilakukan untuk diguna semula bagi membasuh kereta polis. Membeli kain untuk membuat uniform juga kita akan tentukan proses pengeluaran itu memenuhi standard hijau," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Zulkifli menyerahkan sembilan kenderaan terpakai polis kepada GiatMara Permatang Pauh untuk tujuan pembelajaran dalam bidang automotif.    Turut hadir Pengerusi GiatMara Datuk Jaujan Sambakong.

Zulkifli berkata PDRM tidak akan berbelanja besar untuk menjayakan usaha mesra alam itu kerana proses itu akan dijalankan secara peringkat tanpa menjejaskan operasi polis.

"PDRM tidak akan membuat penggantian untuk lampu lama sehingga ia rosak dan akan digantikan dengan lampu LED yang menjimatkan elektrik serta mesra alam," katanya.

Beliau berkata sejumlah RM30 juta dibelanjakan tahun lepas untuk membeli peralatan yang diiktiraf hijau dan kontinjen lain turut diarah menggunakan produk hijau. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS