Menu

ESOK DIJALANKAN BEDAH SIASAT UNTUK ANAK SYURGA YANG MENINGGAL DUNIA AKIBAT DIDERA KELUARGA ANGKAT

Batu Pahat, 12 Julai 2017 – “Maafkan ibu Fateh, kalau tahu begini nasib kamu, ibu akan mencuba sedaya upaya untuk menjaga kamu dahulu.”

Demikian rintihan seorang ibu muda ekoran kematian anak lelakinya, Muhamad Al Fateh Abdullah yang berusia setahun sembilan bulan dipercayai akibat didera keluarga angkat.

Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 22, tidak me­nyangka anaknya itu akan diperlakukan sedemikian rupa biarpun sudah menyerahkan kepada keluarga angkat yang juga kenalannya sejak mangsa masih bayi.

Menurutnya, dia menyerahkan kanak-kanak terbabit kepada kenalannya kerana mempunyai masalah peribadi yang membuatkannya tidak dapat menjaga Muhamad Al Fateh ketika itu.

“Saya sudah amanahkan mereka (ibu dan bapa angkat) untuk menjaga dan memberinya kasih sayang dengan sempurna tetapi tak sangka ini balasan mereka kepada saya.

“Kalau saya tahu ini yang akan terjadi, sudah pasti saya tidak menyerahkannya kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah Nur, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya adalah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu dan ada ternampak beberapa kesan lebam di bahagian badan mangsa namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Saya hanya memikirkan yang mungkin anak saya terjatuh ketika bermain-main di rumah keluarga angkatnya. Jika ikutkan hati memang saya mahu jaganya sendiri tetapi disebabkan kisah silam dalam hidup dua tahun lalu saya terpaksa berbuat demikian,” luahnya lagi.

Ujar Nur lagi, dia hanya menge­tahui kejadian menimpa anaknya itu melalui laman sosial Facebook dan bergegas ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bagi menemui sendiri anaknya itu di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

“Tetapi saya tidak dibenarkan menemui Muhamad Al Fateh kerana tiada sijil lahir yang membuktikan saya ibu kandungnya memandangkan dokumen itu ada pada keluarga angkatnya.

“Selepas dimaklumkan polis anak saya sudah meninggal dunia baru saya dapat melihatnya,” katanya yang menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan kerana masih bingung dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis da­erah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa memberitahu, kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia pada 12.45 te­ngah hari ini di HSNI.

Ujar beliau, ibu dan bapa angkat kanak-kanak terbabit yang berumur 30 dan 34 tahun kini direman sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurut Abdul Wahib, proses bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu akan dijalankan di Unit Forensik HSNI esok.

Sumber: Utusan Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS