Menu

REMAJA PANDU LORI DITAHAN SELEPAS DIKEJAR 16 MPV POLIS

Johor Bahru, 24 Oktober 2018 - Seorang remaja lelaki ditahan selepas berlaku adegan kejar mengejar dengan 16 buah Unit Kereta Peronda (MPV) sejauh kira-kira 45 kilometer dan selama satu jam 30 minit di Jalan Harmonium 23, Taman Desa Tebrau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, anggota MPV yang membuat rondaan di kawasan itu ternampak sebuah lori jenis Hino berwarna putih dalam keadaan mencurigakan yang dipandu oleh remaja berusia 15 tahun itu dalam keadaan berbahaya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihak MPV cuba menahan tetapi tidak diendahkan oleh remaja tersebut.

"Empat MPV JBS bersama 12 buah MPV Seri Alam mengejar dan mengepung laluan tetapi lelaki itu enggan memberhentikan kenderaannya di Jalan Angkasa Mas 3, Perindustrian Tebrau 2.

"Semasa proses kejar mengejar di Lebuhraya Pasir Gudang memasuki persimpangan susur keluar Plentong, MPV jenis Preve telah dirempuh semasa membuat sekatan oleh lori yang dipandu remaja itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Shahurinain berkata, sebuah lagi MPV Seri Alam jenis Inspira turut dirempuh lori tersebut semasa tiba di jalan mati di jalan Angkasa Mas Perindustrian Tebrau 2, di sini ketika remaja tersebut cuba mengundurkan lorinya untuk melarikan diri.

"Semasa proses kejar mengejar pihak polis telah melepaskan tembakan di udara sebanyak tiga kali di Lebuhraya Pasir Gudang tetapi remaja itu tetap enggan memberhentikan lorinya sebelum akhirnya berbuat demikian akhirnya di Jalan Angkasa Mas 3.

"Dengan bantuan MPV Seri Alam dan MPV JBS telah berjaya menahan remaja itu dan semasa proses penahanan telah berlaku pergelutan hingga dia mengalami kecederaan luka pada tangan kanan kerana suspek bertindak agresif semasa cuba melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori itu didaftarkan atas nama Syarikat Soong Ki Trading Sdn Bhd beralamat di Jalan Ros Merah, Taman Johor Jaya, di sini.

"Hasil soal siasat awal terhadap remaja yang sudah tidak bersekolah itu menyatakan dia membawa lori itu bertujuan "test drive" memandangkan kunci lori tersebut berada di dalam lubang kunci dan dia juga pernah menjadi kelindan kepada lori yang dipandu oleh pakciknya.

"Lori tersebut telah diambil dari kawasan parkir hadapan kilang Soong Ki Trading Sdn Bhd Johor Jaya dan jarak terserempak oleh MPV di Jalan Harmonium lebih kurang 6km dari kilang lori tersebut diparkir.

"Pemilik lori itu dan saksi kejadian akan dirakam percakapan bagi membantu siasatan," katanya. - SINAR HARIAN ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS