Menu

FESTIVAL KESENIAN ISLAM PDRM PERINGKAT KEBANGSAAN 2019 MARTABATKAN SENI ISLAM

Kuala Lumpur, 22 Ogos 2019 - Dalam usaha memartabatkan lagi kesenian Islam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman telah menganjurkan Festival Kesenian Islam PDRM Peringkat Kebangsaan 2019 yang bermula Isnin lalu bertempat di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini.

Seramai 188 peserta dari 12 Kontinjen mengambil bahagian dalam dua kategori dipertandingkan dalam Festival kesenian Islam PDRM yang julung-julung kali diadakan iaitu kategori nasyid dan qasidah, berzanji serta marhaban.

Persembahan kumpulan An-Nissa dari Kontinjen Pahang berjaya menambat hati para juri, lantas dinobatkan sebagai juara kategori nasyid diikuti kumpulan E-Man dari Kontinjen Pulau Pinang dan kumpulan Nur Humairah dari Kontinjen Sabah dengan masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga. Bagi kategori qasidah, berzanji serta marhaban pula, kumpulan Soutul Jauhar dari Kontinjen Johor muncul sebagai juara diikuti dengan kumpulan Soutul Ikhwan dari Kontinjen Perak di tempat kedua dan kumpulan Soutul Surti yang mewakili Kontinjen Pulau Pinang pula menduduki tempat ketiga. 

Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang sijil penyertaan dan hadiah berupa cek bernilai RM2,000, RM1,500 dan RM500.

Hadir bagi merasmikan majlis penutupan tadi adalah Ketua Polis Negara, IG Dato’ Seri Abdul Hamid Bador bersama isteri yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Seri Norazrin Marzuki.

Berucap dalam majlis tersebut, Dato’ Seri Abdul Hamid berharap program seumpama itu dapat dikekal dan dijadikan wadah yang harus didekati oleh masyarakat Islam khususnya warga PDRM sendiri.

"Selain bertujuan mengasah bakat warga PDRM dalam bidang kesenian Islam, program seumpamanya ini juga diharap dapat memperkembangkan lagi seni yang merupakan warisan bangsa dan lambang jati diri umat Islam.

“Di samping mengangkat kesenian Islam ke martabat yang lebih tinggi, penganjuran festival ini juga berjaya mencapai matlamat dalam menjalinkan semangat muhibah, kerjasama dan perpaduan warga Pasukan sekali gus mengagungkan kebesaran Ilahi,” ujar beliau lagi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman, Timbalan Pengarah JIPS (BAKA) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, DCP Dato’ Hashim Ali, Timbalan-timbalan Pengarah serta pegawai-pegawai kanan PDRM.

Image may contain: 21 people, people smiling, people standing and indoor
Peserta-peserta pertandingan bergambar kenangan bersama Ketua Polis Negara, IG Dato’ Seri Abdul Hamid Bador.

Image may contain: 15 people, people smiling, people standing and indoor
Peserta-peserta pertandingan bergambar kenangan bersama Ketua Polis Negara, IG Dato’ Seri Abdul Hamid Bador.

Image may contain: 4 people, people smiling
Sekitar pertandingan bagi kategori nasyid berlangsung.

Image may contain: 5 people, people standing
Sekitar pertandingan bagi kategori qasidah, berzanji serta marhaban berlangsung.

Image may contain: 3 people, people standing
Persembahan khas daripada kumpulan nasyid Fareast di Festival Kesenian Islam PDRM Peringkat Kebangsaan 2019.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS