Menu

PDRM TERIMA SUMBANGAN 10 KERUSI RODA UNTUK SSPDRM

Kuala Lumpur, 25 Februari 2020 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) menerima 10 buah kerusi roda dalam Majlis Penyerahan Kerusi Roda Kepada Anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, pagi tadi.

Sumbangan kerusi roda oleh Persatuan Kesejahteraan Rakyat Malaysia (PKRM), yang diwakilkan kepada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) tersebut adalah bagi kegunaan pegawai, anggota dan ahli keluarga SSPDRM yang mengalami kecederaan atau masalah kesihatan.

Penyerahan tiga buah kerusi roda sebagai simbolik majlis itu telah disempurnakan oleh Pengarah JPJKK, CP Dato’ Zainal Abidin Kasim untuk diserahkan kepada anggota SSPDRM yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur. Baki kerusi roda berkenaan akan disumbangkan dalam lawatan beliau di lain-lain kontinjen kelak.

“Kolaborasi antara PDRM dengan MCPF cukup signifikan dalam usaha pencegahan jenayah di negara ini, dan dengan adanya bantuan SSPDRM, ternyata ia meningkatkan lagi tahap keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
 
“PDRM amat berterima kasih atas kerjasama SSPDRM dalam membantu pihak polis membanteras jenayah dan diharapkan sumbangan ini mampu meringankan beban anggota SSPDRM yang kurang bernasib baik,” ujar Dato’ Zainal Abidin.

Terdahulu, delegasi MCPF yang diketuai oleh Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Datuk Seri Lee Lam Thye telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Dato’ Zainal Abidin yang bertujuan membincangkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam merangka dan menjalankan aktiviti pencegahan jenayah. 

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JPJKK, DCP Dato’ Sun Teoh Tia, wakil-wakil MCPF Pusat, MCPF Negeri, para pegawai kanan PDRM dan rakan media.

PRO_1521

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), CP Dato’ Zainal Abidin Kasim menyerahkan kerusi roda sumbangan Persatuan Kesejahteraan Rakyat Malaysia (PKRM) kepada ahli keluarga SSPDRM.

PRO_1514
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), CP Dato’ Zainal Abidin Kasim mewakili PDRM menerima sumbangan kerusi roda oleh Persatuan Kesejahteraan Rakyat Malaysia (PKRM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

PRO_1529
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), CP Dato’ Zainal Abidin Kasim menyerahkan kerusi roda sumbangan Persatuan Kesejahteraan Rakyat Malaysia (PKRM) kepada ahli keluarga SSPDRM.

PRO_1507
Sekitar mesyuarat sempena Majlis Penyerahan Kerusi Roda kepada Anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

PRO_1648
Sesi bergambar kenangan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS