Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PENAGIH DADAH TERLIBAT PECAH RUMAH DAN SAMUN DITAHAN


Bukit Mertajam, 27 Disember 2017 - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan samun di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Selamat, Alma di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, hasil risikan dan intipan yang dijalankan sejak seminggu lepas, polis menyerbu rumah lelaki itu kira-kira pukul 12.10 tengah malam Isnin sebelum menahan suspek berusia 36 tahun itu.

"Lelaki yang tidak bekerja itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis dan berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya ditahan oleh pasukan kami," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, lelaki yang turut positif dadah itu terlibat dalam beberapa kes pecah rumah termasuk terbaharu pada minggu lepas membabitkan sebuah rumah di Taman Nirwana di sini.

"Dalam kejadian minggu lepas, lelaki terbabit memecah masuk rumah mangsa kira-kira pukul 5 pagi sebelum melarikan komputer riba, barangan kemas dan wang tunai kira-kira RM5,000," katanya.

Nik Ros Azhan berkata lelaki yang turut terlibat dalam kegiatan samun itu dipercayai aktif dalam aktiviti jenayah sejak enam bulan lepas.

Katanya, modus operandi ialah menjalankan tinjauan terlebih dahulu sebelum memecah masuk rumah mangsa yang tiada penghuni dan melarikan barangan berharga.

"Bagi kes samun, sasarannya ialah wanita yang berjalan atau menunggang motosikal bersendirian pada waktu malam, suspek menggunakan pisau untuk menakutkan mangsanya namun tidak mencederakan mereka," katanya.

Beliau berkata, suspek yang pernah ditahan beberapa kali kerana kegiatan jenayahnya itu mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan dia kini direman untuk siasatan lanjut.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS