Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

KAMI BUKAN SUPERMAN, KAMI JUGA MANUSIA BIASA YANG MEMBERIKAN PERKHIDMATAN KEPADA AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Siapa tidak kenal Superman. Superman adalah adiwira yang sulung. Ia direka oleh Jerry Siegel dan Joe Shuster pada 1938. Selain dalam bentuk komik pada awalnya, kisah Superman juga telah dikeluarkan dalam bentuk rancangan televisyen, filem dan permainan video.

Antara kebolehan istimewa Superman yang menjadi identitinya termasuk terbang di angkasa, kekuatan luar biasa, kebal, kelajuan yang amat pantas dan kuasa x-ray matanya.

Setelah kemunculan Superman, pelbagai watak adiwira lain telah dicipta. Dengan keupayaan luar biasa yang dimiliki, mereka lazimnya menjadi hero membantu melindungi orang awam dan menjaga ketenteraman.

Selain fiksyen, masyarakat juga dihidangkan dengan pelbagai siri televisyen dan filem, sama ada tempatan mahupun luar negara, berkaitan kehebatan polis menyelesaikan kes-kes jenayah dalam masa yang singkat berbekalkan kecekapan dan kerjasama yang baik. Antara yang terkesan dengan drama sebegini sudah tentunya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri.

Masyarakat rata-ratanya mempunyai harapan yang sangat tinggi terhadap institusi kepolisan. Setiap orang seolah-olah menjangkakan atau mahu kes mereka diselesaikan serta merta atau sesegera mungkin. Polis perlu sentiasa berkhidmat kepada masyarakat, tidak kira siang atau malam.

Kadangkala kita lupa bahawa anggota polis juga manusia biasa seperti kita. Mereka juga sakit, demam, dan mati, bila sampai waktunya. Mereka juga perlu tidur walaupun kebanyakan polis yang saya kenal biasanya tidak cukup tidur atau rehat.

Anggota polis juga tidak kebal seperti Superman yang kita kenali yang kalis peluru. Mereka tetap cedera jika terkena tembakan. Saya masih ingat apabila pasukan PDRM berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah di Pulau Pinang suatu ketika dahulu, ada pula pihak yang mencemuh dan mempertikaikan tindakan pasukan keselamatan.

Lima penjenayah terbabit bersembunyi di sebuah pangsapuri di Sungai Nibong, Pulau Pinang. Apabila diserbu pihak polis, berlaku tembak-menembak yang berakhir dengan kematian penjenayah.

Menurut pihak PDRM, kumpulan penjenayah tersebut merupakan geng kongsi gelap yang terlibat dalam kes bunuh dan jenayah berat (senjata api) di negara ini. Saya terfikir, sekiranya anggota polis yang terkorban, adakah pihak yang mempersoalkan tindakan polis itu akan memperjuangkan nasib isteri dan anak-anak anggota polis terbabit?

Mungkin ramai antara kita tidak tahu bahawa polis tiada elaun kerja lebih masa. Walaupun bekerja hingga 16 jam sehari (yang merupakan kebiasaan), mereka tetap hanya menerima gaji bulanan biasa tanpa sebarang upah tambahan.

Tidak dinafikan anggota polis secara rasminya hanya bertugas 8 jam sehari tetapi jika ada operasi atau tugasan yang melibatkan pembesar negara, mereka bekerja tidak kira jam hinggalah perkara tersebut selesai.

Begitu juga kerja yang melibatkan keselamatan orang awam. Sebagai contoh, jika ada perlawanan bola sepak, anggota polis akan mula bertugas pada jam 4.30 petang.

Kita boleh bayangkan setelah perlawanan berakhir sehinggalah pemain dan penonton meninggalkan stadium, masa sudah melewati 12 tengah malam. Keesokan paginya, anggota polis terbabit tetap perlu hadir bertugas seperti biasa.

Jika tiada operasi sekalipun, tugas polis sebenarnya tidak tamat pada 5 petang kerana mereka memegang amanah menjaga keamanan setiap masa. Seorang polis sentiasa on call 24 jam untuk memastikan kesentosaan umum. Bagi institusi kepolisan, cuti bukanlah 'hak' tetapi lebih merupakan penjagaan kebajikan kakitangan oleh pihak majikan.

Maka, tidak hairanlah hasil kajian Jabatan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi tahun 2007 hingga 2009, menunjukkan bahawa pekerjaan sebagai anggota polis adalah paling stres berbanding pekerjaan lain seperti ahli bomba, guru, jururawat ataupun doktor.

Melihat senario ini, saya berasa kagum terhadap anggota polis yang masih mampu senyum dan melakukan yang terbaik walaupun dalam keadaan stres dan penat. Salah seorang daripada mereka ialah ASP Hasbullah, Ketua Polis Balai Kota Bharu.

Bagi beliau dan rakan seperjuangan, mereka yang memi-lih kerjaya polis, maka amanah dan tanggungjawab itu harus mereka pikul dan laksanakan sebaik mungkin.

Semoga beliau dan seluruh anggota PDRM diberi kesihatan yang baik dan dapat menjalankan tugas yang digalas dengan cemerlang manakala masyarakat lebih memahami cabaran-cabaran yang dihadapi anggota polis terutamanya pada hari ini dan menghargai bahawa mereka manusia biasa, bukan Superman.

Terima kasih saudara Johari Yap, Pengerusi MacmaKelantan & AJK Perkim Kelantan di atas penulisan dalam ruangan Sinar Harian.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS