Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

ANGGOTA POLIS JADIKAN DERMA DARAH SEBAGAI RUTIN TAHUNAN

 

Tampin, 12 April 2018 - Sudah menjadi rutin tahunan, Sarjan Ramli Khamis, 54, untuk mendermakan darah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun sejak menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih 30 tahun lalu.

Ramli yang kini berkhidmat di Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin berkata, sehingga kini dia mendermakan darah sebanyak 31 kali, sejak di peringkat latihan rekrut polis di Johor.

Menurut anak jati Kandang, Melaka ini, pada awalnya, dia hanya menyertai kempen derma darah berkenaan berdasarkan arahan daripada ketua sahaja.

“Masa itu tahun 1985, dalam rekrut lagi, saya derma darah sebab diarahkan.

"Lama-lama saya rasa aktiviti ini sangat bagus kerana bukan hanya bantu selamatkan nyawa individu lain yang memerlukan, bahkan untuk kesihatan diri sendiri.

“Selama 32 tahun saya berkhidmat dalam pasukan, belum pernah lagi saya mengambil cuti sakit.

"Saya percaya, rutin menderma darah sekurang-kurangnya sekali setahun ini banyak bantu saya kekal sihat serta cergas,” katanya ketika ditemui di Program Derma Darah sempena Hari Polis ke-211 Peringkat IPD Tampin, di Dewan Kompleks Perumahan IPD Tampin, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, program berkenaan adalah sumbangan dan usaha polis menambah kuantiti tabung darah negara.

Akuinya, kesemua anggota dan pegawai kanan polis di daerah ini perlu menjadikan aktiviti menderma darah sebagai rutin tahunan bagi menjamin kesihatan berada pada tahap memuaskan.

“Aktiviti derma darah ini acara tahunan dan kita sasar seramai 70 pegawai, anggota dan orang awam bersama-sama menderma darah pada hari ini untuk membantu Hospital Tampin,” kata beliau.

Pihaknya juga anjur pemeriksaan kesihatan secara percuma, pendaftaran VSP (Volunteer Smartphone Patrol) dan lain-lain lagi. – SINAR HARIAN ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS