Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PRU KE-14: POLIS PERAK KENAL PASTI 23 KAWASAN PANAS


Selama, 12 April 2018 - Menjelang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bermula 28 April hingga 9 Mei ini, polis Perak mengenal pasti empat kawasan paling 'panas' di negeri ini yang akan dipantau bagi mengelak kekecohan.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata selain empat kawasan terbabit yang dikategorikan sebagai kawasan paling panas, pihaknya turut mengenal pasti 19 lagi kawasan panas yang turut diberi tumpuan.

Katanya semua 23 kawasan panas di seluruh negeri itu akan diberi perhatian agar ketenteraman masyarakat dapat dipelihara selain mengawal sebarang kemungkinan ancaman yang tidak diduga sepanjang PRU-14.

"Daripada 23 kawasan panas itu empat daripadanya dikategorikan sebagai kawasan paling panas dan polis akan sentiasa memantaunya dengan teliti agar tidak berlaku kekecohan yang boleh mengganggu keamanan," katanya dalam sidang media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Perak dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Selama di Ibu Pejabat Polis Daerah Selama di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kesemua kawasan panas terbabit.

Hasnan, selain kawasan panas terbabit pihaknya juga sudah mengenal pasti 440 individu yang dilihat mampu memberi ancaman kepada keamanan dan keselamatan orang ramai sepanjang proses pilihan raya diadakan.

"Seramai 43 daripadanya dikenal pasti sebagai penyokong parti yang akan bertanding dan mereka dikategorikan sebagai keutamaan 'kelas 1'," katanya.

Beliau berkata bagi menjaga kelancaran sepanjang PRU-14, 90 peratus daripada 8,709 pegawai dan anggota polis kontinjen Perak akan bertugas selain 700 pegawai tambahan daripada Bukit Aman.

Katanya, pihaknya sudah menjalankan persiapan sejak Jun 2016 dalam menghadapi sebarang ancaman dan kemungkinan yang akan berlaku.

"Saya menasihatkan kepada bakal calon yang akan mengambil bahagian bertanding dan penyokong supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada serta tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

"Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengganggu sepanjang proses demokrasi dijalankan," katanya.

Terdahulu dalam majlis Majlis Serah Terima Tugas KPD Selama, bekas Ajutan Batalion 2 Pasukan Gerakan Am Kulim, Kedah, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad dilantik sebagai KPD yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Mohd Sabri menggantikan Deputi Superintendan Loo Lian Lay yang bersara wajib pada 15 April ini selepas berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 42 tahun. – BERITA HARIAN ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS