Padang Besar, 31 Mei 2018 – Tembok dan pagar sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 29 km dari Padang Besar, di Perlis ke Bukit Kayu Hitam di Kedah didapati telah usang dan tidak lagi kukuh untuk tujuan keselamatan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata berikutan itu, pagar itu kini menjadi laluan utama penceroboh terutama pendatang asing tanpa izin dan golongan ekstrem untuk memasuki Malaysia.
“Perkara ini memang disedari oleh pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah membuat tinjauan. MKN juga sedar implikasi terhadap keselamatan negara.
“Bagi pihak polis, kita telah mengemukakan cadangan dan saranan yang termasuk penggunaan teknologi canggih seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan drone di kawasan panas untuk memberi kawalan maksimum,” katanya.
Bagaimanapun belum ada keputusan dibuat, katanya kepada media selepas meninjau pagar sempadan itu hari ini.
Keseluruhan sempadan dari Bukit Putih di Kuala Perlis ke Bukit Kayu Hitam adalah 105 kilometer (km) panjang. Sebahagian pagar dibina dengan kawat berduri dan sebahagian tembok konkrit.
Beliau berkata polis Malaysia dan Thailand sentiasa bekerjasama selain bertukar maklumat dan pandangan dalam usaha membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.
Mengenai penyeludupan barang dagangan, beliau berkata dari Januari hingga April lepas, Pasukan Gerak Am membuat 167 tangkapan di Kedah, Perlis dan Kelantan manakala barang yang dirampas bernilai RM1.3 juta.
- BERNAMA