Kota Kinabalu, 23 April 2022 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Razarudin Husain hadir mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Operasi-Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) Sabah Bilangan 1/2022, pagi semalam.
Ketibaan beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah telah disambut oleh Pesuruhjaya Polis negeri, CP Dato' Idris Abdullah dan timbalannya, DCP Datuk Jauteh Dikun.
Mesyuarat tersebut antara lainnya bertujuan memantapkan lagi operasi sedia ada melalui perancangan yang lebih teliti dan strategik, sekali gus mewujudkan keselamatan berkekalan di kawasan tersebut.
Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Sri Hazani Ghazali, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (Gerakan) Bukit Aman, CP Dato' Kasuahdi Ali, Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, DCP Dato' Shukri Abdullah, Timbalan Pengarah Pengurusan (Dasar Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, DCP Nik Murtaza Mahmud, Komander Eastern Command, DCP Hj. Hamzah Hj. Ahmad dan Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran) Bukit Aman, SAC Kamaruzaman Abdullah.