Berita

AHLI KOPERASI PDRM DISERU TERUS KOMITED BANTU BANGUNKAN KPDRM


Kuala Lumpur, 21 Jun 2022 - Semua ahli lembaga Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) dan Ahli Jawantankuasa Kecil Daerah (AJKKD) diseru untuk terus komited serta memainkan peranan masing-masing dalam membantu koperasi dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti.

Seruan tersebut dibuat Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani dalam perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-87 KPDRM yang berlangsung di Bukit Aman, pagi tadi.

Beliau selaku Yang Dipertua KPDRM turut berkongsi kejayaan koperasi yang terus mencatatkan kedudukan cemerlang di tangga ke-4 di dalam indeks 100 koperasi terbaik negara, tahun lalu.

"Pencapaian yang dimiliki KPDRM adalah hasil daripada usaha keras anggota lembaga koperasi, pihak pengurusan dan seluruh warga serta anak syarikat koperasi yang bernaung di bawahnya.

"Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat kerana telah berjaya meletakkan KPDRM sebagai salah satu koperasi yang berprofil tinggi di Malaysia", ujar beliau.

Dalam mesyuarat tadi juga, Pengarah pengurusan, CP Datuk Zaini Jass dan Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, SAC Fazlisyam Abd Majid sebulat suara dipilih untuk dikekalkan sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Audit Dalaman KPDRM.

Hadir sama, Timbalan KPN Merangkap Timbalan Yang Dipertua KPDRM, DIG Tan Sri Razarudin Husain, Pengerusi KPDRM, Dato' Hasanuddin Hassan dan barisan pengarah PDRM.

Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid

May be an image of 20 people, people standing, outdoors and text that says 'POLIS DIRAJA MAL AYSIA'