Kuala Lumpur, 22 Jun 2022 – Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Razarudin Husain merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) kali Ke-38 di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut, Presiden RESPA, Dato’ Meor Chek Hussein Mahayuddin dan Pengarah Pengurusan, CP Dato' Zaini Jass.
Tan Sri Razarudin dalam ucapan perasmiannya berharap agar persatuan tersebut terus memberi sokongan padu kepada PDRM dalam memartabatkan Pasukan serta menyumbang bakti kepada masyarakat.
"Saya berdoa semoga RESPA akan terus berjaya dalam usaha murninya untuk menjaga kepentingan para ahli dan memperjuangkan kebajikan bersama anggota-anggota polis yang telah bersara. Insya-Allah, dengan kekuatan yang terhasil daripada kesepakatan bersama, kita mampu mencapai hasrat murni tersebut, demi agama, bangsa dan negara", ujar beliau.
Tan Sri Razarudin turut menyeru ahli-ahli RESPA supaya mengemaskini maklumat peribadi dalam sistem e-Pesara PDRM agar kebajikan para pesara, bekas polis mahupun waris dapat dipantau dari semasa ke semasa supaya dapat diuar-uarkan maklumat berkaitan faedah dan ganjaran oleh Kerajaan.
Turut hadir, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Noorsiah Mohd Saaduddin dan wakil ahli-ahli RESPA seluruh Malaysia.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.