Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

[ARTIKEL PILIHAN] OPERASI BERSEPADU KHAZANAH: 50 JAWATAN DILULUS UNTUK WCB, BANTERAS JENAYAH HIDUPAN LIAR - KPN

Kota Kinabalu, 4 Ogos 2022 - Sebanyak 50 jawatan baharu diluluskan pada Julai lepas bagi menubuhkan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) bagi memerangi aktiviti penyeludupan hidupan liar dan memelihara khazanah flora fauna, kata Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani.

Beliau berkata, unit WCB akan distrukturkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur bagi membolehkan setiap siasatan jenayah hidupan liar diselia secara komprehensif.
"Lima puluh jawatan ini akan diwujudkan secepat mungkin dari segi mengenal pasti pegawai dan anggota yang terlibat dalam menganggotai WCB.

"Saya percaya dengan penubuhan unit WCB ini akan memberi impak lebih berkesan dalam usaha memerangi jenayah berkaitan hidupan liar khususnya pemburu haram dan mereka yang menjalankan perdagangan melibatkan spesies dilindungi dan terancam," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Op Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 11 Bil. 2/2022 di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Dato' Abdul Kadir Abu Hashim serta Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Dato' Hj. Zazuli Johan.

Tan Sri Acryl Sani berkata, mesyuarat itu antara lain memuktamadkan tiga prosedur operasi standard (SOP) berbeza dalam memerangi jenayah hidupan liar di Semenanjung, Sabah serta Sarawak, dan SOP tersebut akan diselaraskan mengikut akta atau ordinan diperuntukkan di ketiga-tiga entiti terbabit berkuat kuasa, hari ini.
Beliau berkata OBK terus menghasilkan impak positif terhadap pemuliharaan flora dan fauna negara menerusi beberapa kejayaan rampasan dan tangkapan sejak operasi itu ditubuhkan pada 3 Sept 2019 dengan kerjasama agensi penguat kuasa dan badan bukan kerajaan berkaitan.

Setakat Julai tahun ini, KPN berkata, sebanyak RM3.8 juta jumlah rampasan direkodkan melibatkan 60 kes jenayah hidupan liar dengan 97 tangkapan, satu peningkatan ketara berbanding RM537,490 nilai rampasan melibatkan 30 kes dan 29 tangkapan, tempoh sama tahun lepas.

PDRM akan terus komited mendukung matlamat Pembangunan Mampan di bawah Agenda 2030 ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara, katanya.
Bacaan lanjut seperti di pautan berikut, https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2107494

Sumber: BERNAMA

Foto: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS