Berita

TIMBALAN KPN SAKSI SERAH TERIMA TUGAS KP PERAK

Ipoh, 4 Ogos 2022 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Razarudin Husain hari ini menjadi saksi penyerahan tugas bagi jawatan Ketua Polis (KP) Perak di antara CP Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid dengan pemangkunya, DCP Dato’ Pahlawan Azizi Mat Aris di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini.
Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Razarudin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash atas khidmat bakti yang telah beliau curahkan sepanjang menyandang jawatan KP Perak.
“Semoga kegemilangan legasi kepimpinan terdahulu dapat diteruskan, di samping memberi suntikan nafas baharu agar PDRM terus kekal sebagai sebuah Pasukan yang disegani dan dihormati,” ujar beliau.
Timbalan KPN juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Dato’ Pahlawan Azizi atas pelantikan sebagai Pemangku KP Perak.
“Sesungguhnya, bukanlah mudah untuk memikul gelaran sebagai seorang pemimpin. Mulai saat dan ketika mandat diberikan, maka terpikullah di bahu kita, akan satu tanggungjawab yang amat besar lagi mencabar kerana ia merupakan satu amanah yang datangnya dari ketentuan Allah SWT, yang akan dinilai di dunia dan dihisab di akhirat kelak,” ujar beliau lagi.
Penyerahan jawatan berkenaan adalah sempena persaraan wajib Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash berkuat kuasa esok, 5 Ogos 2022 setelah hampir 40 tahun berkhidmat dalam PDRM.
Turut berlangsung tadi ialah penyerahan jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perak antara Datin Nor Qhadhijah Abdul Wahab dan pemangku, Datin Wanita Wari dengan disaksikan oleh Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Zainah Othman.
Hadir sama, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Noorsiah Mohd Saaduddin, barisan ketua jabatan, ketua polis daerah, pegawai kanan dan anggota Polis Perak.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin, Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Lans Koperal Muhammad Afiq Aizat Kamarudin

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS