Kuala Lumpur, 7 November 2022 - Petugas barisan hadapan dan mangsa-mangsa bencana banjir terus disantuni dalam Program Agihan Sumbangan Serunding dan Pek Daging Korban anjuran
Masjid Bukit Aman dengan
Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction), hari ini.
Simbolik penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Pengarah
Pengurusan, CP Datuk Zaini Jass yang mewakili Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani
Hj. Abdullah Sani dan Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Encik Muhammad Afiq Mohamad Nazari.
Yang turut mengiringi Datuk Zaini tadi ialah Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/Kepolisan Am)
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman merangkap Pengerusi Masjid Bukit Aman, SAC Afandi Senin.
Sebanyak 1,000 pek daging korban siap dimasak bersama 750 pek serunding daging bakal diagih-agihkan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jumlah sama juga diagihkan kepada beberapa rakan agensi penyelamat yang lain.
Manakala 5,000 pek daging korban siap dimasak, 1,000 pek serunding serta 1,000 kotak makanan asas pula akan diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Kesemua sumbangan kepada petugas barisan hadapan tadi diterima oleh wakil setiap agensi termasuk PDRM, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (
JKMN) Selangor pula dipilih sebagai agensi pusat untuk mengagih-agihkannya kepada mangsa banjir di beberapa kawasan yang bakal ditentukan kemudian.
Hadir sama, Pengarah
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, CP Datuk Wira Mat Kasim Karim, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pasca Bencana,
Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Khairul Shahril Idrus, Pengarah
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Tuan Norazam Khamis, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Dr. Zaitol Salleh dan wakil Pengarah
Angkatan Pertahanan Awam Negeri Selangor, Tuan Ruslan Lok serta para pegawai kanan PDRM.