Kuala Lumpur, 11 November 2022 - Kesiapsiagaan seluruh elemen Pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), menjadi keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan negara serta ketenteraman awam terpelihara.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani berkata, tempoh masa tersebut penting kerana rakyat menilai keberkesanan PDRM dalam memastikan tiada insiden mengancam keselamatan berlaku.
Tan Sri Acryl Sani berkata demikian sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Pesuruhjaya Polis (PJP) dan Ketua Polis (KP) Negeri secara telesidang yang berlangsung di Bukit Aman, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada semua PJP dan KP negeri untuk memberi perhatian serius terhadap kes-kes yang boleh mengakibatkan isu ketenteraman awam sepanjang tempoh PRU berlangsung.
"Ambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak yang memanipulasikan isu-isu sensitif. Tindakan segera oleh PDRM boleh meredakan kegusaran awam," jelas beliau.
Yang turut hadir dalam mesyuarat tadi ialah Timbalan KPN, DIG Tan Sri Razarudin Husain, barisan Pengarah PDRM, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (Gerakan), CP Dato' Khaw Kok Chin serta Setiausaha Polis Malaysia selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Mesyuarat, DCP Dato' Hjh. Noorsiah Mohd Saaduddin.
Seusai mesyuarat tadi, Tan Sri Acryl Sani bersama timbalannya, Tan Sri Razarudin meneruskan taklimat keselamatan berkaitan banjir kepada Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob menerusi telesidang yang berakhir sekitar jam 12.30 tengah malam tadi.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin